[Kolumnis] NCR: Antara Adat dan Undang-Undang

Isu Tanah Adat Bumiputera (NCR) ialah isu  paling dekat denga hati peribumi Sarawak kerana tanah bukan sahaja tanah untuk bercucuk tanam, tetapi menjadi lambang tradisi hidup mereka.

Tanah umpama bank bagi etnik peribumi kerana di situlah mereka menyimpan sumber yang dijadikan makanan harian meraka,  tanah mereka juga dianggap hospital kerana di situlah banyak sumber tumbuh-tumbuhan yang dapat dijadikan ubat tradisional bagi mengubati pelbagai jenis penyakit.

Tanah juga dianggap pasar raya kerana terdapat pelbagai sumber  keperluan harian yang boleh diperoleh dari tanah yang diusahakan mereka.

Apabila keputusan Mahkamah Persekutuan  memutuskan adat ‘pemakai menoa’ dan ‘pulau galau’  sebagai tidak termaktub di bawah undang-undang negeri,  maka ini mengguriskan hati kepada masyarakat Dayak khususnya Iban,  Orang Ulu dan Penan.  

Selama ini  tanah ialah jiwa raga mereka yang tidak dapat dipisahkan  dalam budaya hidup mereka.

Perspektif Undang-Undang dan Adat

Namun  bagi perspektif undang-undang dalam kes khusus tersebut,  bahawa  pihak yang menuntut tersebut hilang telah hilang hak  terhadap Tanah  Hak Adat Peribumi (NCR) mereka  apabila  sudah berpindah ke penempatan lain.

Selain itu, pihak mahkamah juga mendapati mereka tidak membuat akuan dalam kenyataan tuntutan mereka bahawa mereka masih pemilik tanah NCR  tersebut.

Juga,  mereka terus mencari rezeki di tanah itu selepas berpindah ke penempatan semula itu.

Fakta bahawa mereka telah menetap di kampung penempatan  lain masing-masing selama hampir 40 tahun digunakan oleh pihak mahkamah  sebagai bukti bahawa mereka bukan lagi pemilik tanah itu manakala kegiatan pembalakan telah dijalankan sejak 20 tahun lalu, iaitu sebelum saman sivil itu difailkan.

Hakim juga telah mengemukakan contoh kes autoriti Bisi Jinggut, iaitu apabila ditinggalkan, akan hilang hak ke atas tanah NCR, sama ada yang diwujudkan atau diperolehi.

Bagi peribumi pula mereka mendakwa mereka masih mempunyai hak  terhadap tanah yang ditinggalkan dan berupa sebahagian daripada tanah NCR.   

Mereka juga mendakwa  tidak pernah dirundingi oleh pihak pemerintah apabila lesen pembalakan dan penanaman semula itu diberikan kepada syarikat terbabit.

Selain itu, mereka mendakwa punca makanan, tumbuh-tumbuhan liar, saliran, ubat-ubatan, serta ruang tempat tinggal mereka, tempat suci dan kawasan rekreasi mereka telah terjejas teruk oleh pencerobohan di tanah mereka.

Justeru, mereka  meminta hak mereka terhadap tanah tersebut  diberikan pengisytiharan.

Hal ini akan menjadikan mereka pewaris sah terhadap dakwaan tersebut.   Sesuai dengan konsep adat  yang menganggap mereka tidak dirunding terlebih dahulu mereka  mendakwa tindakan pemerintah dan syarikat balak perlu juga diisytiharkan salah salah di sisi undang-undang.

Keputusan mahkamah  tertinggi tersebut seolah-olah masyarakat peribumi umpama ‘setinggan’  di kawasan leluhur mereka sendiri apabila lingkungan tersebut dilihat daripada perspektif adat dan budaya mereka.

 

Langkah Menangani Krisis

Hal ini bermakna isu mengenai pentakrifan  ‘pemakai menoa’ dan ‘pulau galau’  dilihat agak subjektif.  Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) digesa lebih  proaktif  dan mempunyai peranan  penting dalam membantu penentuan aspek dua takrif tersebut.

Ahli akademik dalam bidang sejarah dan bidang sosiobudaya perlu dilibatkan agar  aspek melihat isu ini secara lebih akademik dapat memecahkan kebuntuan selama ini.

Setakat ini, peranan ahli sejarawan dan ahli sosiobudaya tidak digerakkan secara bermakna dalam membantu menangani isu ini.

Di Indonesia dan Thailand penggunaan ahli sosiobudaya sebagai  orang tengah  dalam menyelesaikan  isu di antara peribumi dan  pengusaha atau pemerintah bukanlah perkara luar biasa.   

Di Riau, isu pembalakan, kelapa sawit, malah hingga isu minyak  diselesaikan melalui penglibatan ahli antropologi terapan suatu istilah yang kurang diketahui oleh masyarakat Malaysia.

Persepsi Adat

Apabila menemui jalan buntu, maka, tidak hairanlah terdapat dalam kalangan  masyarakat Dayak mendakwa keputusan  Mahkamah menunjukkan ketidakpekaan kehakiman mengenai Perjanjian Malaysia 1963.  

Dalam  adat ‘pemakai menoa’ sering digunakan  dalam Mahkamah Bumiptera Sarawak tetapi Mahkamah Persekutuan didakwa mengabaikan adat yang digunakan dalam Mahkamah Bumiputera.

Ada juga menyatakan ‘pemakai menoa’ tidak disebut secara langsung dalam Adat Iban 1993 (A(93) meskipun terdapat peruntukan amalan ‘pemaki menoa’.

Mengapakah situasi  boleh berlaku selepas puluhan tahun Sarawak merdeka?

Hasil daripada isu yang mengelirukan ini, ada dakwaan dan tanggapan seolah-olah  para hakim kurang menghargai  aspek adat dalam undang-undang yang menjadi bahagian besar dan banyak digunakan dalam Mahkamah Bumiputera.  

Justeru, ada mencadangkan agar  hakim dipilih perlulah daripada hakim Borneo kerana mereka lebuh arif tentang  undang-undang adat ‘pemakai menoa’ dan ‘pulau galau’.

Implikasi

Keputusan penghakiman majoriti tiga berbanding satu oleh  mahkamah tertinggi  baru-baru ini tidaklah mengejutkan sekiranya dilihat dalam aspek undang-undang berdasarkan bukti-bukti konkrit perspektif  dunia perundangan tertinggi negara.

Sebab itu, Mahkahmah Tertinggi membenarkan rayuan kerajaan negeri dan mengetepikan perintah Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi yang mengiktiraf ‘pemakai menoa’ dan ‘pulau galau’ sebagai tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak.

Terdapat banyak kes masih lagi belum diputuskan seperti  rayuan kes pertikaian tanah hak adat bumiputera  di Kampung Lebor, Jalan Gedong, Serian.  Terdapat lebih 100 kes  yang hampir sama  masih lagi  didengar di mahkamah.

Penubuhan Tribunal

Cadangan  Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum  agar pihak kerajaaan  menubuhkan  tribunal khas  untuk mengendalikan kes tanah Hak Adat Pribumi (NCR) perlulah dipertimbangkan sewajarnya. Sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak pasti beliau mengetahui kerumitan tersebut kerana  memerlukan proses yang panjang, rumit, banyak saksi, jurubahasa dan isu dialek. Anggota tribunal pula terdiri daripada mereka yang berpengetahuan mengenai tuntutan tanah pribumi.

Selain itu, perlu juga penyusunan semula Mahkamah Bumiputera dan perlu pelantikan hakimnya dalam kalangan yang lebih berpengalaman  menguruskan pertikaian dan tuntutan berkaitan tanah hak adat bumiputera.

Isu tanah NCR bukan sahaja melibatkan isu undang-undang malah unsur budaya, tradisi dan warisan yang  memerlukan sumbangan ahli sejarah dan golongan ahli sosiobudaya bagi membantu menangani dengan memberikan perspektif yang lebih menyeluruh dan bersepadu.

Sejauh manakah pandangan ini diterima pakai oleh golongan yang berada di tampuk kuasa? Selagi tidak ada penglibatan pelbagai golongan yang menyeluruh   maka isu ini akan terus berkumandang selama-lamanya. – Sarawakvoice