KL bandar raya kedua terbaik didiami di Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur disenarai sebagai bandar raya kedua terbaik untuk didiami di Asia Tenggara diikuti Johor Bahru di tempat ketiga, tahun ini.

Senarai itu dikeluarkan oleh sebuah firma perunding Mercer hari ini di laman sesawangnya menerusi senarai ‘Mercer’s 2017 Quality of Living Rankings’ yang digunakan oleh syarikat-syarikat multinasional untuk mencipta pakej negara yang sesuai untuk didiami bagi ekspatriat.

Tempat pertama bandar raya yang terbaik untuk didiami di Asia Tenggara ialah Singapura.

Dalam ranking dunia Mercer menempatkan Kuala Lumpur di kedudukan nombor 86 sebagai bandar raya terbaik untuk didiami dan Johor Bahru di nombor 103 daripada 231 bandar-bandar yang telah dilakukan kaji selidik.

Foto Women on the Road

Tempat pertama jatuh kepada Vienna di Austria diikuti Zurich (Switzerland), Auckland (New Zealand), Munich (Jerman) dan Vancouver (Kanada).

Kaji selidik itu melihat 10 kategori termasuk suasana politik dan sosial, persekitaran ekonomi, persekitaran semula jadi, perumahan, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan sebuah bandar raya.

Mercer, syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat menjalankan perkhidmatan perundingan, pengumpulan data dan kaji selidik untuk membantu syarikat perniagaan dalam membuat keputusan eksekutif.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah mengumumkan bahawa pihak kementerian mempunyai inisiatif untuk memastikan Kuala Lumpur berada di senarai 10 bandar raya terbaik untuk didiami di dunia menjelang 2020. Bernama