Khairy: BN perlu raih sekurang-kurangnya 51 peratus undi popular pada PRU14

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) perlu meraih sekurang-kurangnya 51 peratus undi popular di samping undi elektoral pada pilihan raya umum ke-14 (PRU) akan datang untuk terus mentadbir negara dengan mandat kukuh.

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata langkah itu perlu supaya tidak wujud pertikaian di Dewan Rakyat berhubung parti mana yang lebih layak menubuhkan kerajaan sekaligus memerintah negara.

“Kita semua tahu sistem demokrasi negara adalah parti yang mempunyai majoriti kerusi di Dewan Rakyat (Parlimen), mereka boleh tubuhkan kerajaan (Persekutuan).

“Tetapi bagi saya, selain undi majoriti (elektoral), BN juga mahu kejar undi popular kerana tidak mahu nanti ada pertikaian kepada kemenangan itu… jadi bagi saya sekiranya BN mendapat 51 peratus undi popular itu bermakna kita sudah menang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan serentak persidangan cawangan-cawangan UMNO Bahagian Kapar di sini, malam ini. Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kapar Datuk Faizal Abdullah.

Dalam pada, Khairy turut mengingatkan jentera pilihan raya UMNO Kapar supaya mempunyai semangat ‘winning mentality’ dalam diri masing-masing sebagai teras untuk merampas semula empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kapar pada PRU14.

Empat DUN itu ialah Sementa, Selat Klang, Sungai Pinang dan Meru. Bernama

Leave a Reply