(Bahagian II) Pentadbiran 60 hari Abg Jo: Pan Borneo, internet, koridor SCORE, Hidro Bakun, LRT

Labur RM1 Bilion Jalur Lebar

Abang Johari berkata, Sarawak sedia membelanjakan kos RM1 bilion menaik taraf dan mempertingkat kelajuan jaringan jalur lebar internet di Sarawak sehingga enam kali ganda berbanding sedia ada.

Penggunaan teknologi satelit berkenaan, selain kabel fiber optik, berkelajuan lebih 300 megabit sesaat (mbps) berbanding 50 mbps sedia ada.

Bukan sahaja bermanfaat untuk e-dagang serta pembangunan ICT dalaman atau memautkan warganet dengan kerajaan ataupun dunia luar, internet yang laju di bandar dan luar bandar memberi ketenangan dan kemudahan kepada pelancongan yang memilih Sarawak sebagai destinasi untuk dilawati.

Pelaburan RM1 bilion berbaloi untuk menjadi Sarawak sebuah taman kecil dalam sebuah “perkampungan global” yang tidak gagal sambungan alam mayanya dengan fiber optik mahupun satelit.

Apabila dunia IT dan ICT semakin berkembang, wifi percuma bukanlah sebuah perkhidmatan semata-mata, tetapi ia menjadi sebuah prasarana yang sama penting dengan bekalan elektrik atau air.

Lebuh Raya Pan Borneo

Sementara, menjelang 2030, Sarawak bertekad menyediakan prasarana sepenuhnya di kawasan luar bandar menjadikan negeri ini setanding negeri lain di Malaysia.

Sebanyak RM20 bilion diperuntukkan untuk Pan Borneo yang mampu menghubungkan seluruh Sarawak, lebih banyak destinasi jarak jauh memakan masa lebih singkat untuk dijelajah.

Pan Borneo turut menghubungkan rangkaian sambungannya ke Sabah serta wilayah lain dengan Brunei dan Kalimantan dalam Kepulauan Borneo.

Apabila Lebuh Raya Pan Borneo terjalin, ia turut menghidupkan Jalan Pesisir yang menghubungkan luar bandar sepanjang  pesisiran serta jalan tambahan memasuki kampung dan pedalaman Sarawak.

Jambatan merentangi sungai turut dibina antaranya yang sudah siap jambatan terpanjang di Borneo Jambatan Batang Sadong RM230 juta serta jambatan lain dalam penyiapan Jambatan Batang Samarahan.

Sementara, masih dalam perancangan seperti Jambatan Batang Lupar, Jambatan Batang Igan, Jambatan Rambungan, Jambatan Batang Saribas, Jambatan Muara Lassa, Jambatan Batang Paloh dan sebagainya.

Apakah makna pembangunan fizikal ini semua dan ia ternyata terlaksana pada fasa ketika Abang Johari menjadi kapten Bumi Kenyalang?

Empangan Hidroelektrik Bakun

Sementara, kesungguhan Abang Johari membincangkan pengambilan alihan sepenuhnya Empangan Hidroelektrik Bakun untuk dikuasai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sarawak daripada pemilikan Kerajaan Pusat membungkamkan pembangkang di Sarawak.

Mungkin sasaran mendapatkan 20 peratus honorarium ke atas Petronas belum mendapat hasil sepenuhnya akibat kejatuhan harga minyak di pasaran global.

Isu ini sering menjadi modal pembangkang menyerang Kerajaan Negeri, namun keikhlasan Najib menyerahkan projek Bakun kepada Sarawak tidak kurang setanding perjuangan menuntut hak ke atas honorarium petronas.

Pengambilalihan empangan tersebut oleh syarikat milik kerajaan, Sarawak Energy Berhad (SEB) yang membeli pegangan ekuiti dalam Sarawak Hidro Sdn Bhd, dimilik Kerajaan Persekutuan.

Abang Johari menyifatkan, “pengambilalihan ini membolehkan Kerajaan Negeri dan SEB muncul sebagai pemilik penuh kemudahan elektrik di negeri ini, seterusnya meningkatkan keupayaannya dalam mengoptimumkan pengurusan dan operasi pembekalan elektrik di negeri ini.”

Empangan Hidroelektrik Bakun memiliki saiz lebih besar dari Singapura mula beroperasi sepenuhnya pada Julai 2014 dengan pengeluaran kapasiri 2,400MW.

Melalui pengambilalihan ini kata Abang Johari, SEB kini memiliki tiga empangan tenaga boleh diperbaharui, termasuk Empangan Hidroelektrik Batang Ai, dan Empangan Hidroelektrik Murum.

Sarawak berpotensi mengeksport tenaga tersebut kepada negara jiran, selain meneruskan dasar pengurangan tarif dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Sarawak bakal muncul sebagai pengeluar utama tenaga elektrik bukan sahaja di dalam negara, bahkan di peringkat serantau dengan menawarkannya pada harga yang lebih kompetetif.

Impak kekuatan ini berganda dan memberi makna kepada Sarawak yang bakal muncul sebagai negeri maju 2030; dari segi memiliki Lebuh Raya Pan Borneo dan Jalan Pesisir serta kemudahan lebuh raya internet fiber optik atau satelit, ditambah pula dengan prasarana janakuasa Hidroelektrik Bakun yang murah dan daya saing Score.

Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE)

Kita mudah membayangkan apabila Lebuh Raya Pan Borneo siap sepenuhnya kemudian kuasa hidroelektrik dapat menyediakan harga tenaga yang murah, ia mampu menjana dan memberi momentum bagi pertumbuhan dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Mulai sekarang, para pelajar sebagai modal insan yang sangat berguna seharusnya mengukir dalam petak minda di kepala mereka bahawa sangat rugi jika mereka tidak menyiapkan diri mereka menghadapi cabaran yang akan datang ketika SCORE beroperasi sepenuhnya.

Sarawak turut mampu menceburi bidang ekonomi pelbagai sektor, pertanian, industri, produk intelek, produk digital dan sebagainya untuk membangun seluruh negeri ini, ketika bandar raya berkembang menjadi metropolitan, bandar berkembang menjadi kota raya, luar bandar menjadi bandar.

Abang Jo dengan LRT, MRTnya

Sebuah negeri maju pekannya merempuh urbanisasi dengan bandar raya menjadi metropolitan.

Ia bukan angan-angan kosong, ketika masih banyak perlu diisi untuk pembangunan luar bandar menjadi pekan.

Tidak salah kita bercakap tentang kota metropolis pada 2030 yang ketika itu kita tidak lagi bercakap tentang menaik taraf perkhidmatan bas kepada sebagus Rapid KL.

Pada 2025, Kuala Lumpur bercakap tentang pembangunan Lembah Mekong mencapai 600 juta penduduk yang menghubungkan Singapura dengan negara Asia Tenggara yang lain merentasi kereta api laju membelah Semenanjung Malaysia.

Maka, Pada 2030 tentu kita bukan lagi bercakap tentang Lebuh Raya Pan Borneo, tetapi optimis sekali, kita bercakap tentang kereta api laju Kepulauan Borneo, pulau terbesar Asia yang ketika itu mungkin mengunjur kepada 25 juta penduduk.

Jika mahu melihat pasaran komersial yang lebih meluas maka ia perlu disebut sebagai BIMP-EAGA menjangkau Filipina.

Dan berpijak di bumi nyata, semua orang tentu masih ingat pada November tahun lepas, Abang Johari selaku Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi, membayangkan Sarawak mempunyai sistem aliran transit ringan (LRT) atau kemudahan aliran transit massa (MRT) sebagai tambahan kepada sistem pengangkutan awamnya.

Kajian mewujudkan LRT dan MRT dilakukan di bandar besar seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri dengan unjuran memulakan sistem pengangkutan tersebut pada tahun hadapan.

Bandar raya Kuching dan Kota Samarahan mempunyai hampir sejuta penghuni, paling praktikal LRT atau MRT ini menjadi pendahulu diaktifkan untuk lingkaran Sematan-Kuching-Samarahan-Bau-Serian!

Atau untuk perjalanan Kuching-Samarahan-Padawan, ia sudah dikira praktikal! – Sarawakvoice

Leave a Reply