KUCHING: Seramai 13 calon dari Sarawak memperoleh gred A+ dalam semua mata pelajaran dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 yang diumum semalam.

Pengarah Pendidikan Negeri, Rakayah Madon berkata, daripada jumlah tersebut seorang calon memperoleh 11A+, enam calon 10A+ dan enam calon lain 9A+.

Jumlah yang memperoleh sekurang-kurangnya gred A- dalam semua mata pelajaran pula adalah seramai 577 orang.

“Pencapaian calon Sarawak mengikut Gred Purata Negeri (GPN) telah meningkat daripada 5.47 pada tahun 2015 kepada 5.34 pada tahun 2016.

“Ini bermakna prestasi pencapaian calon-calon SPM Sarawak pada tahun 2016 telah meningkat sebanyak 0.13 jika diukur daripada GPN,”katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2016 Peringkat Negeri.

Berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS), katanya 14 sekolah menengah cemerlang di Sarawak ialah SM Sains Kuching dengan nilai GPS 1.72, SM Sains Miri (GPS 1.99), Kolej Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah Kuching (2.06), Kolej Tun Datu Patinggi Tuanku Haji Bujang, Miri (2.10) dan SM Sains Kuching Utara (2.29).

SMP Lodge Kuching mencatatkan GPS 2.31 diikuti MRSM Mukah (2.70), MRSM Betong (2.70), SMK St Elizabeth, Sibu (2.73), MRSM Kuching (3.08), SMK Sacred Heart, Sibu (3.25), SMK Methodist, Sibu (3.32), SM Swasta St Joseph Kuching (3.34) dan SMK Agama Tun Ahmad Zaidi Kuching (3.48).

Katanya, seramai 26,769 atau 83.02 peratus daripada 32,245 calon Sekolah Menengah Kebangsaan yang hadir telah berjaya mendapat sijil SPM, iaitu memenuhi syarat sekurang-kurangnya lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

“Sebahagian besar sekolah di Sarawak berada dalam kategori sekolah Cemerlang, Baik dan Memuaskan dengan hanya dua sekolah berada dalam pencapaian berpotensi.

Untuk mana-mana calon yang berhasrat menyemak semula atau mengemas kini keputusan mereka agar melakukannya dalam tempoh 30 hari selepas tarikh pengumuman keputusan, iaitu selewat-lewatnya 15 April 2017.

Borang boleh didapati daripada pihak sekolah masing-masing, Unit Penilaian dan Peperiksaan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing atau Sektor Penilaian dan Peperiksaan di Ibu Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri di Kuching. – Sarawakvoice

Leave a Reply