TPM: Identiti mayat disahkan secara forensik

SEPANG: Identiti rakyat Korea Utara yang dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lepas disahkan sebagai Kim Jong nam berdasarkan sampel DNA.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa identiti mayat disahkan secara pasti melalui tatacara forensik.

“Saya sekali lagi mengesahkan mayat itu adalah mayat Kim Jong Nam,” kata Datuk Seri Ahmad Zahid pada sidang media selepas pelancaran KUL VIP Access di KLIA, di sini, semalam.

Jong-nam, abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, didakwa dibunuh oleh dua wanita warga asing yang menyapu mukanya dengan agen saraf VX ketika berada di KLIA2 untuk menaiki pesawat ke Macau.

Jong-nam, yang memiliki pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Kenyataan Ahmad Zahid hari ini menyanggkal dakwaan Wakil Tetap Korea Utara di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Kim In-ryong yang dilaporkan menafikan bahawa individu yang dibunuh di Malaysia ialah Jong-nam.

Ahmad Zahid berkata Malaysia tiada halangan bagi penubuhan inkuiri bebas antarabangsa berkaitan kes pembunuhan Jong-nam.

“Mana-mana pihak termasuk Korea Utara atau badan antarabangsa boleh menubuhkan apa jua jenis inkuiri atau Board of Enquiry,” ujarnya.

Dua wanita warga asing – Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 29, warga Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 1 Mac lalu berhubung kes itu. – Sarawakvoice

Leave a Reply