Tiket Terbuka Malaysa 2017 laris kerana Chong Wei

KUCHING: Hanya 500 tiket panas setiap hari untuk empat hari perlawanan bagi menyaksikan Celcom Axiata Terbuka Malaysia 2017 akan dijual pada hari pertandingan pada 4 hingga 9 April depan.

Ini kerana semua tiket yang ditawarkan sebelum ini, sudah habis terjual, terutamanya tiket pada 8 dan 9 April yang menyaksikan pusingan separuh akhir dan akhir, kata Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurutnya, sambutan ini adalah sesuatu yang di luar jangkaan dan tiket yang berbaki itu adalah yang akan dijual di Stadium Perpaduan pada hari kejohanan.

“Kita menerima begitu banyak permintaan hingga ejen-ejen yang dilantik tidak lagi memiliki stok,” katanya.

Aksi pusingan awal kejohanan siri super yang menawarkan USD600 ribu sebagai habuan itu akan dibuka percuma kepada para peminat badminton.

Jelas Abdul Karim, pihaknya akan menghentikan penjualan tiket pada 20 Mac ini bagi mengelakkan penjualan tiket-tiket palsu dan “jualan pasar gelap”.

Selepas aksi All England yang dimenangi Datuk Lee Chong Wei, kejohanan di Kuching ini katanya, pasti akan menjadi tumpuan, apatah lagi yang akan turut beraksi adalah musuh ketatnya, Lin Dan.

“Itu adalah antara faktor yang menyebabkan jualan tiket ini menggelegak umpama pisang goreng panas,” tambahnya lagi.

Kejohanan ini akan menelan biaya sebanyak RM3.9 juta, dengan RM600 ribu merupakan tajaan Kerajaan Negeri Sarawak.

“Ia akan ditayangkan secara langsung ke 30 negara dan ini peluang terbaik untuk kita mempromosikan Sarawak,” katanya lagi. – Sarawakvoice

Leave a Reply