Tiga lelaki dikenakan tindakan POCA kerana tuntut wang perlindungan daripada peniaga bunga

KUCHING: Tiga lelaki ditahan di bawah Seksyen 4(2)(a) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 selama 38 hari gara-gara mengaut “untung mudah”, dengan memeras ugut peniaga kecil.

Majistret Zuhairil Sulaiman membenarkan perintah reman itu pagi tadi selepas mendengar permohonan daripada pegawai penyiasat.

Terdahulu, ketiga-tiga lelaki ini dikatakan terlibat dalam melakukan peras ugut dan meminta wang perlindungan daripada penjual-penjual bunga dan hadiah sempena sambutan Hari Valentine di Kuching dan Padawan.

Berdasarkan maklumat awam dan risikan, ketiga-tiga lelaki ini kemudian diberkas, setelah aktiviti mereka dilaporkan, selain mendatangkan kegusaran kepada penduduk setempat.

Tempoh tahanan yang panjang ini dipohon bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan, selain tingkah laku subjek yang membimbangkan.

Subjek dikatakan meminta wang perlindungan sekitar RM300 ke RM500 daripada setiap peniaga. – Sarawakvoice