Taktik tanam pokok ganja dikesan polis

Gambar hiasan

AMPANG JAYA: Taktik menanam pokok ganja bersama tanaman cili dalam pasu yang sama akhirnya terbongkar apabila polis berjaya menghidu kegiatan itu di sebuah rumah di Kampung Cheras Baru di sini Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Hamzah Alias berkata hasil maklumat risikan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menyerbu rumah yang disewa seorang buruh tempatan berusia 30-an itu pada pukul 9.10 malam.

“Hasil pemeriksaan menemukan dua pokok ganja dengan ketinggian 47 hingga 60 sentimeter ditanam bersama pokok cili di dalam sebuah pasu besar di halaman rumah.

“Polis juga menemukan tiga batang anak pokok dengan ketinggian antara 10 sehingga 25 sentimeter yang ditanam dalam bekas kecil yang diletakkan di atas pam tandas rumah itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hamzah berkata turut dirampas sepaket plastik berisi ceraian dedaun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 4.80 gram yang telah diproses dan bernilai RM100 serta beberapa benih pokok ganja.

Beliau berkata pemeriksaan saringan air kencing ke atas lelaki yang tinggal bersama isterinya itu mendapati dia positif ganja dan mempunyai satu rekod jenayah kerana memiliki dadah.

“Siasatan awal mendapati kegiatan itu dilakukan untuk kegunaannya sendiri, namun kita masih menyiasat sejak bila dia melakukannya,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata buruh itu ditahan reman selama tujuh hari sehingga 20 Mac ini bagi membantu siasatan.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 6 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952. Bernama

Gambar hiasan