KUALA LUMPUR: Wakil tetap Korea Utara ke Pertubuhan Bangsa bersatu (PBB) menyanggah lelaki mengguna identiti Kim-chol, mati dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) 13 Februari lalu adalah Kim Jong-nam abang pemimpin tertinggi negara tersebut, Kim Jong-un.

Bahkan, Kim In-ryong menyalahkan Korea Selatan dan AS atas pembunuhan lelaki yang disahkan oleh polis Malaysia sebagai Kim Jong-nam itu.

In-ryong menuduh Korea Selatan dan AS bertujuan mencemar maruah Korea Utara serta mahu meruntuhkan sistem sosialis.

In-ryong turut mempertikaikan bagaimana dua penyerang Jong-nam memperoleh gas saraf VX terlarang itu dan pada masa sama menyatakan AS memiliki simpanan senjata haram.

Beliau turut mengulas bahawa bagaimana dua penyerang di KLIA2 itu tidak terjejas semasa menyapu bahan VX kepada mangsa.

Sementara itu, selain Jepun, didakwa China paling banyak membantu pihak berkuasa Malaysia mengecam mayat Jong-nam.

The Star pada Selasa mendakwa China pihak paling membantu Malaysia mengesahkan jasad milik Jong-nam.

Dikatakan, cap jari mangsa pembunuhan tersebut tersimpan di China kerana selama ini Jong-nam hidup dalam penyisihan keluarga di Macau China.

The Star memetik sumber yang dirahsiakan namanya bahawa polis Malaysia bekerja sama dengan China melalui Interpol.

Lebih 20 personel dan polis China membantu proses pengesahan Jong-nam, dakwa sumber kepada The Star. – Sarawakvoice