Perumahan agenda tertinggi kerajaan demi kesejahteraan rakyat – Najib

KUALA LUMPUR: Perumahan menjadi agenda tertinggi kerajaan dalam memperjuangkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kewujudan pelbagai projek perumahan mampu milik membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memudahkan rakyat memiliki rumah mengikut kemampuan mereka.

“Kita ada banyak agensi (menguruskan) program rumah mampu milik yang mendapat sambutan hangat misalnya Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), perumahan mampu milik Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP),” katanya semasa berucap pada majlis penyerahan kunci Perumahan 1Razak Mansion, di sini hari ini.

Perdana menteri berkata selain itu program pembangunan semula perumahan juga merupakan satu lagi inisiatif kerajaan dalam memberikan keselesaan kepada rakyat seperti perumahan 1Razak Mansion di Sungai Besi, yang sebelum ini dikenali sebagai perumahan awam Razak Mansion.

Sebanyak 658 unit rumah baharu dibina di bawah projek itu dengan keluasan 800 kaki persegi berbanding saiz unit lama iaitu 399 hingga 504 kaki persegi, dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air, selain dilengkapi pelbagai kemudahan awam

Najib berkata projek kerjasama awam-swasta (PPP) itu dibina berhampiran perumahan lama dan berjaya disiapkan sembilan bulan lebih awal daripada jangkaan masa tiga tahun yang disasarkan.

“Melalui PPP, kita dapat membangunkan semula perumahan ini. Tentu sekali Razak Mansion sebelum ini memberikan gambaran ‘comot’, seolah perumahan setinggan, menjadi ‘eyesore’ tetapi kini berubah wajah dan boleh dibanggakan,” katanya.

Najib berkata beberapa penghuni yang ditemuinya turut menzahirkan kegembiraan kerana mendapat rumah yang lebih selesa dan moden.

Menurutnya setiap unit rumah 1Razak Mansion telah mempunyai hak milik strata di bawah nama pemilik asal dengan pajakan 99 tahun berbanding unit lama dengan baki pajakan 40 tahun dan tidak memiliki hak milik strata.

Dulu..
Sekarang…

Seramai 557 pemilik asal akan mendapat unit rumah baharu secara percuma, manakala 101 penyewa perumahan itu akan ditawarkan untuk membeli rumah berkenaan dengan harga hanya RM42,000.

Najib turut mengucapkan terima kasih kepada penduduk perumahan itu yang bersetuju sepenuhnya terhadap cadangan pembangunan semula perumahan berkenaan.

Katanya kos pemindahan berjumlah RM3,000 untuk penduduk asal akan dibiayai pemaju perumahan, selain menanggung bayaran kos penyelenggaraan dan ‘sinking fund’ selama dua tahun bermula tahun ini.

Mereka juga diberikan tempoh dua bulan untuk berpindah ke unit baharu, katanya.

Najib menyifatkan perumahan itu dekat di hatinya kerana dirasmikan oleh allahyarham bapanya Tun Abdul Razak Hussein pada 1967, yang merupakan timbalan perdana menteri ketika itu, dan beliau merasmikan upacara pecah tanah 1Razak Mansion pada 2014.

Beliau berkata nilai pasaran terkini untuk satu unit perumahan 1Razak Mansion adalah RM350,000 berbanding harga dahulu antara RM60,000 hingga RM80,000 seunit. Bernama

Leave a Reply