Pentadbiran 60 hari Abg Jo: Ketua Menteri yang memenuhi takdirnya (Bahagian I)

Apakah yang dapat dilakukan oleh sebuah negeri apabila ia menguasai keupayaan kuasa daripada tenaga hidroelektrik yang murah?

Pada masa yang sama, negeri tersebut juga memiliki lebuh raya fizikal menghubungkan semua daerah terkini dalam keadaan ekonomi negeri berkenaan kukuh dan berdaya saing.

Kemudian ia turut memiliki kuasa sistem maklumat internet berkelajuan tinggi teknologi kabel fiber optik untuk kawasan bandar dan satelit mendekatkan penduduk luar bandar dan pedalaman dalam sebuah “global village”?

Sarawak sudah merdeka lebih 50 tahun, dengan jumlah penduduk hanya 10 peratus daripada keseluruhan 37 juta penduduk Malaysia, kelebihannya sekarang ialah Sarawak kaya sumber dalam sebuah pemerintahan yang memiliki tanah hampir seluas Semenanjung Malaysia.

Dapat dikatakan, Sarawak akan melalui titik paling kemuncak untuk 50 tahun terakhir muncul menjadi sebuah negeri berdaya maju dan berdaya saing di Malaysia!

Sungguh, Sarawak mampu mencapai negeri maju 2030 dan menggapai hala tuju yang digariskan TN50.

Aspirasi Manfaatkan Teknologi

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin ketika bercakap semasa sesi dialog TN50 di Samarahan minggu lepas, berkata aspirasi pemimpin serta rakyat Sarawak memberi isyarat jelas bahawa negeri ini menghasilkan perubahan amat besar dalam tempoh 30 tahun lagi.

Menurut Khairy belia Sarawak mempunyai aspirasi yang sangat tinggi untuk pembangunan negeri ini dan Malaysia khususnya membabitkan penggunaan teknologi.

“Walaupun mungkin Sarawak masih lagi ada kekurangan dari segi prasarana dan kemudahan asas, bukan hanya Ketua Menteri, malah anak muda Sarawak semuanya menceritakan soal teknologi,” kata Khairy.

Menilik sejarah silam, pada zaman pembangunan awal Amerika Syarikat (AS) dan Jerman; pada era Perang Dunia Pertama apabila Jerman berjaya membangunkan lebuh raya fizikal untuk menakluki Eropah, Presiden AS ketika itu Dwight Eisenhower, 1920-an tidak duduk diam.

Eisenhower mengubat rasa iri hatinya dengan membangun sesuatu yang menjadi femonema dunia hari ini, bukan lebuh raya fizikal, tetapi membangun “sesuatu yang lebih bermakna daripada lebuh raya Jerman iaitu “Highway Supercoridor” yang bermula dengan intranet dibangunkan daripada teknologi tentera.

Hari ini intranet berkembang menjadi internet yang merentasi negara dan budaya bangsa dibangunkan sebagai internet komersial menjadikan “global hanya sebuah kampung” atau “the global village”.

Global village Eisenhower kini dapat dilalui dalam beberapa saat melalui hujung jari berbanding lebuh raya fizikal Jerman.

Kini, Sarawak hanya sebuah negeri; ia bakal memiliki kedua-dua prasarana tersebut; yang tidak dimiliki serentak oleh Jerman mahupun AS, seratus tahun silam.

Ikrar Bebas, Antirasuah!

Abang Johari pemimpin berpengalaman, 30 tahun membesar dalam perjuangan dari akar umbi politik menuju puncak politik mapan Sarawak untuk menjadi Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Beliau bergandingan dengan Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam kepemimpinan PBB dan juga dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

Perhatikan, apakah yang dilakukan oleh Abang Johari yang dapat dianggap sebagai pemimpin paling penyabar dalam tendang terajang, onak duri perjalanan politik Sarawak pada hari pertama beliau berkesempatan menerajui sebuah kerajaan.

Pemimpin energetik dan “tahu apa dibuatnya” itu pada 25 Januari lepas, awal-awal lagi “mengajak” barisan kabinet negerinya terdiri daripada sembilan menteri dan 18 menteri mudanya melafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad.

Antirasuah merupakan ajaran murni dalam Islam serta agama langit lain dan juga etika falsafah manusia.

“Paling saya takut ialah Tuhan dan saya tidak akan benarkan rasuah berlaku dalam pentadbiran saya,” kata Abang Johari di hadapan hadirin dalam sebuah majlis makan malam Tahun Baru Cina.

Ini merupakan petanda dan isyarat jelas bahawa sesiapa mahu melepaskan dirinya daripada terlibat dengan rasuah, pemimpin itu pasti dirahmati dan beroleh keberkatan dan kejayaan.

Ini kerana, rasuah bukan sahaja merosakkan si pelaku, pemberi dan penerimanya, malah ia akan meruntuhkan sebuah sistem keadilan dalam masyarakat serta berupaya memusnahkan sebuah negeri atau negara.

Jika pempimpin sangat antirasuah atau membenci rasuah, beranikah pimpinan di bawahnya atau rakyatnya prorasuah atau menyukai rasuah?

Jika berani, boleh sahaja mencubanya?

Ikrar tersebut sangat signifikan kerana ia mendahului mesyuarat kabinet pertama yang dipengerusikan oleh beliau selaku Ketua Menteri Sarawak selepas pelantikan 13 Januari menggantikan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia pada 11 Januari lepas.

Paling manis, dari semasa ke semasa Abang memperharui komitmennya berjanji menjadi ketua menteri yang adil kepada semua kaum dan agama.

Secara mudahnya sambil menjaga integrasi nasional, perpaduan kaum sebagai kunci kesejahteraan sebuah negeri yang mempunyai pelbagai etnik di dalamnya merupakan kunci kesuksesan kepada sebuah keharmonian dan kestabilan politik dan iklim sosialnyua.

Antirasuah adalah titik-tolak yang sangat signifikan bagi memulakan hari-hari penting sebuah pemerintahan, hal ini termaktub.

Hari ini, semua prasarana yang kelihatan bersepadu di Sarawak, termaktub dalam cita-cita Abang Johari yang berpijak di bumi nyata dalam pentadbiran 60 hari beliau memerintah Kerajaan Negeri Sarawak.

Abang Johari bukan sahaja memikul sebuah legasi, janji dan cita-cita Allahyarham Tan Sri Adenan Satem di bahunya, tetapi beliau memenuhi takdirnya berada di tempat yang betul dan pada masa yang betul.

Beliau mengharungi kudrat dan iradat sebuah destinasi serta aspirasi yang dijodohkan untuk beliau bagi memikul sebuah amanah, membangunkan Sarawak! – Sarawakvoice

Leave a Reply