KUALA LUMPUR:  Bagaimana pendirian Barisan Nasional (BN) Sarawak berkaitan usul Rang Undang-Undang Persendirian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) kini sedang diperhatikan bukan sahaja oleh 2.7 juta rakyat pelbagai etnik dan agama di Sarawak, tetapi juga rakyat Malaysia keseluruhannya.

Usul persendirian bagi meminda Akta 355 itu buat kali pertama dibawa ke Dewan Rakyat pada Mei 2016 dan usul itu sekali lagi dibaca Ahli Parlimen Marang  itu pada 24 November tahun lalu.

Yang pasti pendirian Ahli Parlimen BN dari Sarawak tentu akur kepada sebarang ketetapan yang dibuat Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Abang Johari masih belum membuat sebarang keputusan berhubung usul berkenaan.

“Kami membuat pendirian tersebut berdasarkan pendirian Ketua Menteri Sarawak,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam.

Anggota Parlimen Santubong itu berkata, jika Ketua Menteri  memutuskan untuk tidak menyokong, maka Ahli Parlimen Sarawak tidak akan menyokong.

Yang pasti, Ahli Parlimen pembangkang daripada DAP dan PKR tidak akan menyokong RUU355 itu.

Sarawak mempunyai 31 Ahli Parlimen.

Notis usul rang undang-undang itu, yang dikemukakan Abdul Hadi, Ahli Parlimen Marang, tersenarai sebagai perkara ketujuh dalam Aturan Urusan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-13 yang bermula Isnin minggu lepas. – Sarawakvoice