Pelajar Jepun nyanyi lagu Jepun di kampung Melayu

KUCHING: Pelajar Jepun terus menikmati keramahan penduduknya, dan juga makanan Melayu apabila mereka dijamu dengan makanan tradisional beralaskan daun pisang pada majlis makan malam di rumah Junaidi Khadri di Kampung Tanjung Selatan malam tadi.

Selain ikan panggang, mereka juga dihidangkan dengan sayur terung, lemidin dan bubur kacang hijau.

Dua belas orang pelajar dari Tokyo University of Foreign Studies kini sedang dalam rangka lawatan sambil belajar ke bandar raya ini.

Mereka datang dengan tujuan untuk mempelajari budaya dan bahasa Melayu.

Pelajar di bawah bimbingan Faridah Mohamed, tenaga pengajar berasal dari Johor, berpengalaman mengajar lebih 30 tahun di universiti terbabit.

Selepas menjamu selera selama sejam setengah, pelajar kemudiannya memperkenalkan diri masing-masing dalam bahasa Melayu.

Mereka sebaik mungkin untuk mengungkapkan diri dalam bahasa Melayu meskipun baru enam bulan mempelajari bahasa itu.

Pelajar Jepun berkenaan juga mempersembahkan tarian dan nyanyian dalam bahasa Jepun, sambil disaksikan oleh keluarga Junaidi yang seronok menyambut mereka, sambil bertukar-tukar pengalaman tentang budaya Melayu dan Jepun.

Hari ini rombongan berkenaan akan ke Pantai Damai dan Muzium Kucing, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU). – Sarawakvoice