Pekerja asing penting, elak sawit tidak dikutip

KUALA LUMPUR: Seorang ahli Parlimen memohon kerajaan agar membenarkan kemasukan pekerja asing untuk ditempatkan dalam sektor peladangan terutama kelapa sawit bagi mengelak kerugian akibat buah sawit tidak dikutip.

Datuk Zahidi Zainul Abidin (BN-Padang Besar) berkata baru-baru ini Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) serta agensi-agensi lain berkaitan perladangan telah mengemukakan permohonan mengenai perkara itu namun tidak mendapat kelulusan.

Katanya keadaan itu boleh menyebabkan agensi berkaitan dan kerajaan menanggung kerugian sehingga RM1.4 juta sebulan kerana buah kelapa sawit gagal dikutip.

“Kita pernah mohon kepada Jabatan Tenaga Kerja tapi tidak diluluskan.

Menteri sokong pun tapi tidak diluluskan,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Zahidi yang juga Pengerusi Risda berkata jika keadaan itu berterusan, maka lebih banyak kelapa sawit tidak dapat dikutip dan kerajaan akan terus mengalami kerugian.

“Sudahlah susah tiga tahun setengah untuk menanam sawit, lepas itu hasil tidak dapat dikutip, ini perlu dilihat semula oleh kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Zahidi turut menyokong pembangunan projek Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) yang sebelum ini dipersoal oleh pembangkang kerana didakwa membazir.

Beliau berkata walaupun terdapat banyak hotel di Langkawi, namun pulau itu memerlukan sebuah pusat konvensyen sesuai dengan statusnya sebagai pusat pelancongan.

Tambahnya, projek seperti itu yang kurang dimiliki di bahagian utara negara mampu meningkatkan ekonomi di kawasan sekitar termasuk negeri-negeri berdekatan.

Persidangan Dewan bersambung esok. Bernama

Leave a Reply