NCR: Mahkamah Persekutuan benar rayuan syarikat balak

Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa enam penduduk peribumi di Sarawak telah hilang hak ke atas Tanah Adat Peribumi (NCR) mereka selepas mereka berpindah ke penempatan lain.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria membatalkan keputusan mahkamah rayuan yang membuat keputusan memihak kepada enam penduduk daripada kaum etnik Kelabit, Lun Bawang dan Penan itu, diketuai Racha anak Urud @ Peter Racha Urud.

Penghakiman sebulat suara itu disampaikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Balia Yusof Wahi yang berkata, mereka tidak membuat akuan dalam kenyataan tuntutan mereka bahawa mereka masih pemilik tanah NCR itu dan terus mencari rezeki di tanah itu selepas berpindah ke penempatan semula itu.

Katanya mereka telah menetap di kampung masing-masing hampir 40 tahun dan dengan itu mereka bukan lagi pemilik tanah itu, yang kegiatan pembalakan telah dijalankan sejak 20 tahun lalu iaitu sebelum saman sivil itu difailkan.

Hakim Balia memberikan contoh kes autoriti Bisi Jinggut, iaitu apabila ditinggalkan, akan hilang hak ke atas tanah NCR, sama ada yang diwujudkan atau diperolehi.

Kaum etnik berkenaan telah dipindahkan pada 1960-an dan 1970-an oleh kerajaan negeri ke Long Napir dan Kampung Bahagia, Limbang daripada penempatan mereka sebelumnya di Hulu Limbang.

Gambar hiasan

Selepas penempatan semula mereka, kerajaan negeri mengeluarkan lesen pembalakan pada 1985 kepada Ravenscourt Sdn Bhd dan lesen penanaman semula pokok kepada Billion Venture dan Limba Jaya Timber pada 2002.

Panel hakim itu yang turut dianggotai Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Azahar Mohamed, membenarkan rayuan dikemukakan syarikat pembalakan Ravencourt Sdn Bhd, Billion Venture Sdn Bhd dan Limba Jaya Timber Sdn Bhd serta pengarah Jabatan Perhutanan Sarawak dan kerajaan negeri Sarawak untuk mengetepikan keputusan dibuat mahkamah rayuan pada 2013.

Mahkamah memerintahkan setiap responden perlu membayar kos RM10,000 kepada setiap syarikat pembalakan itu.

Mahkamah Persekutuan turut mengekalkan semula keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada 12 Februari 2012 yang menolak tuntutan dikemukakan oleh Racha, Edision John Urud, Jalung Jok, Menit Along, Agung Taie dan Wilfred S. Lasong atas alasan mereka sepatutnya memfailkan tindakan undang-undang itu menerusi semakan kehakiman dengan bukannya melalui writ tindakan.

Mahkamah Tinggi juga memutuskan bahawa keenam-enam mereka lewat dalam memfailkan tindakan undang-undang dan tiada penjelasan diberikan mereka berhubung kelewatan itu.

Enam penduduk itu mendakwa tanah itu adalah sebahagian daripada tanah NCR mereka dan mereka tidak pernah dirundingi oleh kerajaan Sarawak apabila lesen pembalakan dan penanaman semula itu diberikan kepada syarikat terbabit.

Mereka seterusnya mendakwa punca makanan, tumbuh-tumbuhan liar, saliran, ubat-ubatan, serta ruang tempat tinggal mereka, tempat suci dan kawasan rekreasi mereka telah terjejas teruk oleh pencerobohan di tanah mereka.

Mereka memohon pengisytiharan bahawa mereka telah memperoleh dan mewarisi geran peribumi NCR bagi tanah berkenaan, dan pemberian lesen berkenaan kepada syarikat terbabit telah mencabuli hak mereka, dan tindakan kerajaan Sarawak memberikan lesen berkenaan, adalah salah di sisi undang-undang. Bernama