Kerajaan mahu pelabur bangunkan industri hiliran di Sarawak – Abang Jo

BINTULU: Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg semalam menggesa para pelabur membangunkan produk-produk huluan dan hiliran bagi mengembangkan produk mereka di negeri ini.

Menurutnya, Sarawak amat berminat dengan aktiviti hiliran ini dan telah menyediakan tenaga kerja untuk tujuan itu.

“Kita juga memiliki pakar-pakar yang boleh membangunkan menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan secara bersama,” katanya ketika merasmikan Loji Sakura Fertoalloys Sdn Bhd Samalaju dekat sini.

Menurutnya, proses pembangunan produk hiliran itu amat penting dalam mewujudkan banyak peluang baharu dalam pelbagai segmen industri.

Sarawak tegasnya, merupakan lokasi yang tepat untuk pelaburan baharu kerana telah menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif dan mesra alam selain memiliki pelabuhan yang strategik untuk aktiviti lojistik.

“Negeri ini juga memiliki Koridor Pembangunan Tenaga Diperbaharui (Score) yang sehingga kini mengumpul pelaburan sebanyak RM350 bilion, dengan RM300 bilion ditanam di Samalaju,” katanya lagi.

Ujar Abang Johari lagi, beliau amat mengalu-alukan keputusan syarikat Sakura Feroalloys Sdn Bhd membuka lojinya di sini, dan berasa bangga menjadi sebahagian daripada syarikat itu, yang ditubuhkan menerusi kerjasama tiga negara — Afrika Selatan, Taiwan dan Jepun.

Sarawak tambahnya, juga kaya dengan sumber asli selain memiliki bekalan tenaga diperbaharui yang mengcukupi.

“Pada masa yang sama, kita memiliki persekitaran politik yang stabil, dan sedang membangunkan lambakan pekerja mahir.

Sehingga kini sebanyak tujuh syarikat telah beroperasi sepenuhnya di Taman Perindustrian Samalaju dengan 16 daripadanya telah dikurniakan lesen pengeluaran.

Turut hadir Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kemudahan Awam, Datuk Stephen Rundi Utom dan Pengerusi Sakura Fertoalloys Sdn Bhd, Tiaan Can Aswagen. – Sarawakvoice