Keputusan SPM 10 pagi hari ini, calon turut boleh semak di mySMS 15888

PUTRAJAYA: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 boleh menyemak keputusan peperiksaan di sekolah masing-masing pada hari ini selepas 10 pagi.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata calon turut boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan SPM 2016 melalui mySMS 15888 dengan 20 sen satu SMS.

Cara menghantar taip “SPM KP AG” (jarakkan setiap maklumat, KP ialah nombor kad pengenalan calon, AG ialah nombor angka giliran) dan hantar kepada 15888 dengan setiap SMS dicaj 20 sen.

Perkhidmatan tersebut diaktifkan bermula 10 pagi hari ini dan ditamatkan pada 6 petang 22 Mac.

Bagi calon persendirian keputusan SPM dihantar oleh KPM melalui pos ke alamat mereka.

Calon persendirian juga boleh mendapat keputusan SPM masing-masing dengan menghubungi JPN berdekatan semasa mereka mendaftar menduduki SPM.

Pada 2016, seramai 434,535 calon mendaftar menduduki SPM di 3,732 pusat peperiksaan di seluruh negara. – Sarawakvoice