Kami belum panik – David Usop

KUCHING: Berada di tangga kedua tercorot Liga Super, tidak bermakna Sarawak perlu menekan butang panik.

Ketua Jurulatihnya, David Usop berkata, barisan anak-anak buahnya yakin mereka masih mampu “melangkah jauh” memandangkan berada di atas mereka ialah empat pasukan yang jurang di antaranya kecil.

Felda United dan T-Team dengan sembilan mata serta PKNS FC dan Melaka United dengan lapan mata.

Pasukan Ngap Sayot pula ketika ini berjaya mengumpul tujuh mata daripada lapan perlawanan.

“Jadi masih ada ruang untuk mengejar. Kita perlu menang sekali dan seri dua kali dalam pusingan pertama yang berbaki tiga perlawanan untuk layak ke pusingan Piala Malaysia,” katanya.

Sarawak kini memberi sepenuh perhatian kepada Piala FA setelah layak ke suku akhir.

Skuad Ngap Sayot akan bertemu Terengganu di tempat lawan pada 1 April depan sebelum aksi di Stadium Negeri tiga minggu kemudian.

Rehat tiga minggu daripada aksi Liga Super ini sekurang-kurangnya memberi ruang untuk David dan panel kejurulatihannya menstruktur semula pasukan dan melakukan ‘penyejukan’.

“Ia memberi ruang untuk kita membaiki permainan dan merawat kecederaan,” jelasnya lagi.

Tumpuan kini kata David, menggilap sentuhan penyudah terakhir anak-anak buahnya yang kurang tajam.

“Para pemain kita masih muda dan kita dalam proses pembentukan.

“Kerana itu kita berharap mereka cepat matang dan tenang ketika berpeluang menjaringkan gol dalam aksi kompetetif.

Sejak tewas dalam perlawanan terakhir menentang Felda United, para peminat mula menghujani David dengan kritikan, apatah lagi dengan kedudukan Sarawak yang disifatkan jauh terperosok.

“Saya fahami, dan saya hormati kritikan mereka. Mereka berbuat demikian kerana mereka sayang akan skuad ini dan mereka berbelanja untuk menikmati kemenangan,” katanya lagi.

Bagaimanapun kata David, sebagai jurulatih, beliau berpuas hati dengan perkembangan pasukan dan persembahan anak-anak buahnya, terutama barisan pemain muda.

“Mereka meningkat setiap kali perlawanan dan memanfaatkan peluang yang diberi.

“Walaupun keputusan tidak memihak kepada kita, hakikatnya pasukan Sarawak tidak jauh ‘tarafnya’ dengan pasukan lain, biarpun pasukan yang berada di tangga teratas.

“Tidak adil untuk kita mengharapkan kejayaan segera untuk pasukan ini, yang hanya dibentuk kurang lima bulan lalu, berbanding pasukan lain yang telah bertahun bersama-sama.

“Berilah peluang untuk mereka membina keserasian sebelum dapat mencipta kejayaan sasaran,” tambahnya. – Sarawakvoice