Jijik, tikus “pajuh” bihun penjual di premis makanan BDC!

KUCHING: Bertindak atas laporan orang awam berkaitan isu tikus berkeliaran di premis makan, pihak berkuasa tempatan bergegas membuat pemeriksaan mengejut di premis makanan di BDC pada petang Rabu.

Sebelum itu, viral di media sosial kisah beberapa ekor tikus makan bihun milik penjual di gerai makanan di premis BDC.

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) serta pegawai Unit Kawalan Kualiti dan Kesihatan Makanan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) membuat pemeriksaan di premis berkenaan.

Menurut laporan Utusan Borneo pada Khamis, hasil pemeriksaan, kedai makan berkenaan diarah tutup 14 hari, selepas pemeriksaan mendapati terdapat najis tikus di dapur salah sebuah gerai yang beroperasi di situ.

Notis penutupan premis berdasarkan Perintah Penutupan Premis Makanan Yang Tak Suci di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Seksyen tersebut mengkehendaki pengusaha memperbaiki kelemahan sedia ada dan jika gagal mematuhinya, pengusaha yang disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dari lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – Sarawakvoice