KUALA LUMPUR: Laporan Harakahdaily berkaitan usulan perwakilan Pas Cawangan Klewek mendesak Pas mengambil tindakan terhadap individu yang melanggar sumpah taklik dan baiah disambut sokongan bekas naib presiden Pas, Datuk Husam Musa.

Harakahdaily menganggap perbuatan individu wakil rakyat Pas melanggar baiah talak adalah “sangat memalukan” serta seolah-olah mempermainkan sumpah tersebut.

Usul berkenaan dibawa pada mesyuarat agung tahunan Pas Tanah Merah 11 Mac lalu dan diluluskan oleh perwakilan dalam mesyuarat dirasmikan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Antara wakil rakyat yang dikaitkan dengan isu keluar Pas dan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) yang pernah bersumpah taklik serta baiah ialah Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Ahli Parlimen Kuala Kerai Dr Hatta Ramli.

Lafaz taklik dan baiah sebelum ini dikenakan ke atas ahli politik Pas ketika bersama Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah pada 1995.

Husam yang menyertai Amanah mengulas cadangan tersebut menyokong 100 peratus usul Pas Tanah Merah supaya bekas pemimpin parti tersebut didakwa di mahkamah syariah kerana melanggar sumpah taklik dan baiah yang pernah dilafazkan.

Sebelum ini Husam berkata, “kalau Pas bawa isu ini ke mahkamah syariah, yang pertama harus dibawa adalah Datuk Ibrahim Ali.

Menurut beliau, “Ibrahim Ali ada baiah pada 2008, kemudian dia keluar Pas, dan tidak lagi menjadi ahli Parlimen atas tiket Pas. Kemudian barulah yang lain-lain,” ujar Husam.

Husam juga menafikan dirinya terlibat isu sumpah taklik atau baiah kerana beliau dipecat dari Pas bukan keluar sendiri meninggalkan parti tersebut.

Kenyataan Husam bersambut, tetapi dijawab oleh Naib Presiden Pas, Idris Ahmad bahawa  Pas menganggap tiada keperluan bagi Pas membincangkan cadangan mengheret Husam ke Mahkamah Syariah kerana melanggar baiah.

Kata Idris, Husam kini menyertai Amanah dan  tidak lagi mempunyai sebarang kaitan dengan Pas.

“Kita tak peduli dia. Dia bukan ahli kita lagi, dia pun dah keluar dah, dia pun nak jatuhkan Pas di Kelantan,” katanya.

Kenyataan Idris kemudian disambut tempelakan Penasihat Amanah itu yang berkata bahawa Pas sendiri yang mencadangkan hal tersebut.

Husam berkata, Pas sepatutnya berfikir dengan baik sebelum mengambil langkah “mengenakan orang”.

“Kesian Pas Tanah Merah. Yang dipertua dan timbalan yang dipertua kawasan itu kedua-duanya exco Kelantan (tapi) usul mereka tidak dinilai Pas Pusat,” katanya merujuk kepada Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Datuk Md Anizam Abd Rahman.

Husam berkata isu baiah berkenaan dibangkitkan sendiri oleh Pas dan kemudian diketepikan semula oleh parti sama.

“Mula-mula yang membangkitkan isu baiah, Pas. Kemudian tak jadi debat isu baiah, pun Pas.

“Lain kali, fikir elok-elok sebelum nak kenakan orang, baru nama baik perjuangan terjaga,” kata Husam. – Sarawakvoice