Hukum ibu bapa, penjaga jika gagal lapor Jenayah Seksual Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR: Ibu bapa atau penjaga yang mengetahui akan kejadian jenayah seksual melibatkan anak-anak di bawah jagaan mereka namun gagal melaporkan kepada pihak berkaitan perlu dihukum.

Ketika berkongsi cadangan itu dengan Bernama hari ini, Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid berkata langkah tersebut penting untuk memastikan impak menyeluruh apabila undang-undang kesalahan seksual kanak-kanak dikuatkuasakan kelak.

Semalam, semasa merasmikan Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak: Hentikan!!! Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan satu undang–undang baharu dan khusus bagi menangani kesalahan jenayah seksual kanak-kanak secara holistik dan komprehensif yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini.

Dikenali Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan-kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017, undang-undang itu antara lain merangkumi kesalahan ‘child sexual grooming’ (persediaan seksual kanak-kanak) dan pornografi kanak-kanak.

Susulan pengumuman itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said menggesa anggota parlimen memberi sokongan sepenuhnya agar RUU tersebut diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Mengulas lanjut, Mastura berkata ibu bapa atau penjaga tidak harus takut atau malu untuk melaporkan jenayah itu kerana tindakan awal mereka aka  menyelamatkan anak-anak terbabit daripada mengalami gangguan psikologi yang serius.

Sementara itu, Anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata undang-undang baharu yang turut memperuntukkan mahkamah jenayah khas membuktikan keprihatinan kerajaan akan masa depan generasi muda negara.

Katanya inisiatif itu perlu bagi melindungi generasi akan datang yang bakal menerajui negara ini.

“…diharapkan usul ini mendapat sokongan daripada semua pihak tanpa mengira aspek politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebanyak 5,779 kes penderaan seksual kanak-kanak direkodkan sejak 2010 hingga 2015 dengan purata kes sebanyak 963 kes setahun.

Statistik Polis Diraja Malaysia pula merekodkan 2,759 kes rogol, 412 kes sumbang mahram, 1,423 kes mencabul kehormatan dan 422 kes luar tabii melibatkan mangsa bawah 18 tahun yang dilaporkan bagi tempoh 2015 dan 2016. Bernama