Hasil usaha gigih Agensi Maritim, Selat Melaka kini aman  – PM Najib

PELABUHAN KLANG: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata atas usaha gigih Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjaga keselamatan perairan negara, perairan Selat Melaka kini berada dalam keadaan aman dan terkawal.

Perdana Menteri berkata sejak agensi itu beroperasi dari 2006, APMM memberi tumpuan bersungguh-sungguh bagi membanteras jenayah rompakan kapal dagang.

Menurut Laporan Tahunan International Maritime Bureau (IMB) pada tahun 2000, Selat Melaka dikenal pasti sebagai antara perairan utama yang menjadi tumpuan perompak laut, selain perairan Indonesia di luar kawasan Selat Melaka.

Malah, beliau berkata berdasarkan statistik PDRM pada tahun 2000, terdapat 57 kes rompakan di laut dalam perairan negara dan Selat Melaka, yang melibatkan kapal dagang dan bot nelayan.

Najib berkata demikian pada majlis pelancaran Kapal Ronda Generasi Baharu (NGPC) ‘KM Bagan Datuk’ sebagai pengiktirafan kerajaan dan rakyat terhadap keupayaan APMM menjaga keselamatan perairan negara.

Pada majlis itu, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor turut melancarkan kapal berukuran 44.25 meter itu yang dibina oleh Destini Bhd.

Destini dianugerahkan kontrak bernilai RM381.3 juta pada Jun 2015 untuk membina enam unit kapal ronda generasi baharu pertama dan KM Bagan Datuk merupakan unit yang pertama.

Najib berkata: “Dengan usaha gigih APMM, perairan Selat Melaka berada dalam keadaan aman dan terkawal”.

Beliau berkata tiada kes rompakan berlaku di Selat Melaka sejak 2009 sehingga kini, kecuali pada tahun 2011 di mana berlaku dua kejadian rompakan, manakala pada tahun 2014 dan 2015, masing-masing satu kes berjaya diselesaikan melibatkan pemindahan diesel.

Perdana Menteri berkata perolehan kapal ronda generasi baharu itu juga adalah penambahbaikan kepada kapal-kapal sedia ada dimiliki APMM yang dipindah milik daripada agensi-agensi keselamatan lain.

“Saya dimaklumkan bahawa APMM yang bermula dengan hanya mempunyai 59 vesel pada peringkat permulaan penubuhannya (pada 2005), kini telah memiliki 255 vesel, yang dipindah milik secara berperingkat dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Laut dan Jabatan Perikanan.

“Sudah tentu bila memiliki kapal-kapal ini, APMM berterima kasih tetapi pada masa sama mengeluh kerana kapal-kapal ini telah uzur.

“Saya selalu dengar keluhan dan rayuan APMM, oleh itu kerajaan (kali ini) beri kapal baru dan moden ini untuk tambah kecekapan APMM,” kata Najib.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut mengumumkan kerajaan bersetuju memperuntukkan RM740 juta kepada APMM untuk membina tiga buah kapal peronda luar pesisir (OPV).

“Semoga dengan adanya NGPC dan OPV ini nanti, akan memenuhi tuntutan keperluan yang dihadapi oleh APMM, terutamanya dalam berdepan dengan cabaran sektor maritim yang kini semakin meluas dan kompleks,” katanya.

Menurut Najib, keupayaan APMM dalam menjaga keselamatan perairan negara juga mendapat pengiktirafan negara-negara lain apabila baru-baru ini kerajaan Jepun menawarkan untuk memberikan dua buah kapal OPV melalui dana bantuan kerajaan Jepun.

Selain itu, beliau berkata kerajaan Australia juga pernah menghadiahkan dua buah kapal jenis Bay Class bagi tujuan membantu APMM meningkatkan keupayaan tugas, terutamanya di perairan negara dan antarabangsa.

Najib dalam pada itu menyifatkan sektor maritim masih lagi menghadapi pelbagai ancaman bersifat konvensional dan baharu.

“Ancaman konvensional, misalnya penyeludupan dadah, penangkapan ikan secara haram oleh nelayan asing, penyusupan pendatang tanpa izin dan pencemaran persekitaran marin, seperti pembuangan sisa minyak merupakan antara cabaran yang dihadapi oleh APMM.

“Bagi ancaman-ancaman baharu pula adalah seperti jenayah rentas sempadan, keganasan maritim, kegiatan menyelamat bangkai kapal secara haram dan pengeksploitasian sumber-sumber laut secara haram, adalah antara cabaran utama yang perlu dihadapi oleh APMM,” katanya.

Malahan, Perdana Menteri berkata, dengan adanya proses globalisasi, liberalisasi dan penyusunan ekonomi dunia yang saling berkaitan, telah meningkatkan pergantungan serta penekanan kepada perdagangan antarabangsa melalui jalan laut.

Tambahan lagi, Najib berkata, dengan keluasan laut 614,158.54 km persegi iaitu keluasan seluas dua kali ganda luas daratnya serta kedudukan geografi negara yang terletak di persimpangan laluan strategik perkapalan antarabangsa, telah menjadikan perairan negara amat penting kepada keselamatan, keutuhan dan kedaulatan negara.

“Menurut Seatrade Maritime News, meskipun berdepan dengan cabaran pasaran perkapalan pada tahun 2016, namun, sebanyak 83,740 buah kapal melalui Selat Melaka dan Singapura, yang telah menjadikannya sebagai laluan kapal tersibuk di dunia.

“Ini ditambah lagi baru-baru ini, dengan penyertaan syarikat Saudi Aramco dalam projek Rapid Petronas di Pengerang, Johor, melalui pelaburan sebanyak US$7 bilion atau RM31 bilion, di mana selain memerlukan iklim pelaburan yang kondusif, ia juga mengkehendaki tahap keselamatan maritim negara yang tinggi dan bebas daripada ancaman musuh,” katanya. Bernama

Leave a Reply