Berkat hubungan baik KL-Riyadh, kuota haji M’sia bertambah 30,200 jemaah

KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, bermula musim haji tahun ini, kuota haji Malaysia ditambah kepada 30,200 jemaah.

“Terima kasih Raja Salman dan Kerajaan Arab Saudi,” ucap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Facebook beliau pada Rabu.

Najib bersyukur, Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz al-Saud kerana menambah kuota haji tersebut rakyat untuk Malaysia.

Beliau berharap lebih ramai umat Islam di Malaysia dapat menunaikan rukun Islam kelima itu.

Pada Persidangan Dewan Rakyat pada Rabu, Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengumumkan kuota haji rakyat Malaysia untuk 2017 ditambah kepada 30,200 daripada 27,900 orang.

Penambahan tersebut merupakan kejayaan perbincangan antara Raja Salman dengan Najib semasa kunjungan empat hari baginda raja mengunjungi Malaysia pada 26 Februari hingga 1 Mac lepas.

Januari lepas, kuota haji Malaysia telah dikembalikan kepada 27,900 berbanding 22,230 orang sejak 2013.

Arab Saudi merupakan rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia di Timur Tengah.

Perdagangan antara kedua-dua negara meningkat 19.8 peratus pada 2016 berbanding 2015 dan kini berjumlah RM13.12 bilion.

Malaysia turut menjalin kerjasama erat dengan Arab Saudi dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga, pendidikan tinggi dan latihan.

Raja Salman penjaga dua kota suci akan mengadakan lawatan kerja pertama ke Malaysia sejak menaiki takhta menggantikan Raja Abdullah Abdul Aziz pada 23 Januari 2015.

Lawatan tersebut atas jemputan Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V.

Kali terakhir lawatan Raja Arab Saudi ke Malaysia adalah lebih 10 tahun lalu oleh Raja Abdullah bermula dari 30 Januari hingga 1 Februari 2006. – Sarawakvoice