KUCHING: Miri akan menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak wanita Piala Tun Sharifah Rodziah 2017 yang akan bermula pada 8 hingga 18 April depan.

Menteri Muda Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, kejohanan edisi ke-30 itu dijangka akan disertai oleh sekurang-kurangnya 12 pasukan, termasuk tiga pasukan berstatus kelab.

“Mereka akan bersaing untuk merebut habuan RM20 ribu sebagai juara, RM10 ribu sebagai naib juara dan RM5 ribu untuk tempat ketiga,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penganjuran di Stadium Negeri Sarawak.

Turut hadir, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak, Abdul Wahab Rahim.

Menurutnya, Sarawak mengalu-alukan penganjuran sukan seperti itu kerana ia selari dengan hasrat negeri ini untuk muncul sebagai sebuah “kuasa sukan”.

Juara dua kali, Misc-Mifa akan berusaha mempertahankan kejuaraan pada kali ini, dan dijangka akan disaingi oleh finalis yang sama, Sabah.

“Kita juga mengharapkan tuah sebagai tuan rumah akan membawa skuad Sarawak sekurang-kurangnya ke pentas final.

“Setakat ini, kita hanya mampu bersaing hingga ke separuh akhir,” katanya lagi.

Ini merupakan julung kali kejohanan ini diadakan di kepulauan Borneo.

Selain MISC-Mifa, antara pasukan yang sinonim dengan kejuaraan ini ialah Sabah dan PDRM.

Kejohanan ini akan menjadi landasan pemilihan skuad Malaysia dalam menghadapi Sukan Sea Kuala Lumpur pada Ogos depan. – Sarawakvoice