KOTA SAMARAHAN: Umpama sejalur cahaya dalam kegelapan malam. Itu gambaran keputusan intervensi Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dalam membantu para pelajar Islam lepasan Sekolah Kebangsaan Jenis Cina  (SKJC) di negeri ini melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Sebelum ini, pelajar-pelajar ini berada dalam dilema biarpun muncul pelajar cemerlang, kerana satu-satunya harapan; Yayasan Sarawak tidak dapat meluluskan bantuan biasiswa mereka.

Tetapi intervensi Abang Johari seperti yang diumum pada Majlis Perasmian Tilawah Al-Quran Negeri Sarawak ke-57 di Dewan Suarah Kota Samarahan pada Selasa menyaksikan Tabung Baitulmal Sarawak akan memikul peranan itu dengan menyediakan lebih banyak bantuan biasiswa kepada pelajar cemerlang beragama Islam.

“Bantuan biasiswa ini akan menjadi opsyen jika Yayasan Sarawak tidak meluluskan permohonan mereka kerana latar belakang pendidikan yang tidak menepati syarat ditetapkan.

“Kita perlu bantu mereka ini yang ingin melanjutkan pelajaran ke negara China.

“Tabung Baitulmal Sarawak boleh membantu jika Yayasan Sarawak tidak luluskan,” katanya lagi.

Menurutnya, Sarawak amat berbesar hati sekira ada pelajarnya melanjut ke China
untuk menimba pengalaman dan ilmu.

“Mereka inilah masa depan Sarawak, dan merekalah yang akan membantu membangunkan Sarawak jika mereka tamat pengajian nanti.

Bantuan ini juga tegasnya, adalah sejajar dengan tuntutan Islam yang menggalakkan umatnya untuk mengukuhkan ekonomi negara melalui pendidikan.

“Bagi yang belajar di China, apabila mereka balik ke sini kelak, saya percaya banyak syarikat besar akan memerlukan khidmat mereka.

“Ini kerana mereka mampu dan fasih berkomunikasi dalam bahasa Mandarian selain memiliki kepakaran dalam bidang ekonomi selepas menjadi graduan di institut pengajian tinggi China,” tambahnya.

Melanjut kata, Abang Jo turut menggesa umat Islam di negeri ini agar terus mengukuh nilai toleransi demi mengekalkan keharmonian negeri.

“Apabila negeri harmoni, para pemimpin dapat memberi tumpuan kepada usaha  memakmurkan negeri.

“Menjadi tanggungjawab bersama untuk kita bersatu hati dan mengamalkan konsep Habluminallah dan Habluminannas iaitu menjaga pertalian dengan Allah seterusnya menerajui kepimpinan Islam yang bersikap adil kepada rakyat.

Majlis tilawah yang bertemakan “Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah” ini melibatkan 24 peserta yang terdiri daripada 12 qari dan 12 qariah dan akan berlangsung sehingga Jumaat. – Sarawakvoice