11 pegawai imigresen kaut rasuah direman tujuh hari

KUCHING: Seramai 11 pegawai imigresen di negeri ini dikenakan perintah reman tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan kes rasuah melibatkan pekerja asing tanpa permit yang sah.

Perintah tahanan reman kesemua suspek termasuk enam wanita dikeluarkan oleh Majistret Zulhairil Sulaiman di Mahkamah Majistret Kuching  setelah dipohon pegawai penyiasat  SPRM, Mohd Asri Abu Mansor.

Sehingga jam 10 malam tadi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan kesemua pegawai ini di empat lokasi berbeza.

Empat orang ditangkap Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching manakala yang lain di Pejabat Imigresen Sarawak, Pejabat Imigresen Pending dan Pusat Tahanan Imigresen Semuja, Serian.

Sindiket dalaman ini dipercayai telah menerima rasuah di antara RM200 hingga RM5,000 bagi “menutup mata” terhadap pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan dan permit perkerjaan yang sah.

SPRM turut merampas wang tunai lebih RM19,000 daripada suspek-suspek yang ditahan.

Kesemua mereka yang ditahan berusia di antara 33 hingga 53 tahun.

Kes disiasat di bawah mengikut Seksyen 17A — Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Menurut sumber SPRM, mereka ini merupakan kumpulan yang pertama dan pihaknya masih meneruskan Operasi Batas II bagi mengesan pegawai-pegawai yang terbabit dalam perlakuan tersebut. – Sarawakvoice

Leave a Reply