11 pegawai imigresen ditahan rasuah akan diperintah reman hari ini

KUCHING: Seorang lagi pegawai imigresen ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam tadi menjadikannya keseluruhan 11 orang kerana disyaki terlibat dalam kes rasuah melindungi pekerja tanpa izin di negeri ini.

Pegawai Gred KP19 itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan disyaki terlibat dengan rasuah dengan nilai suapan RM9,198.

Tangkapan dilakukan dalam Op Batas II yang diaktifkan berikutan kebanjiran pekerja asing tanpa dokumen sah di negeri ini.

Ia juga lanjutan penangkapan majikan yang melindungi pekerja ini, selain beberapa pegawai kanan dan anggota polis yang menerima suapan pada minggu lalu.

Semalam, ibu pejabat SPRM mengesahkan 10 pegawai imigresen yang bersekongkol melindungi pekerja asing ini telah ditahan dan dibawa ke Mahkamah Kuching untuk proses tahanan reman hari ini.

Enam daripada mereka adalah pegawai wanita ditangkap di Pejabat Imigresen Sarawak, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Pejabat Imigresen Pending dan pusat tahanan depot Semuja, Serian.

Tangkapan dilakukan di antara jam 1.30 hingga 4.30 petang semalam dengan tuduhan mereka telah menyalahgunakan kuasa yang diberikan dengan mengutip wang rasuah dan wang perlindungan pendatang-pendatang tanpa izin ini.

Sindiket dalaman ini dipercayai telah menerima rasuah di antara RM200 hingga RM5,000 bagi “menutup mata” terhadap pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan dan permit perkerjaan yang sah.

SPRM turut merampas wang tunai sebanyak RM10,000 daripada salah seorang suspek yang ditahan.

Kesemua mereka yang ditahan berusia di antara 33 hingga 53 tahun. – Sarawakvoice

Leave a Reply