10 pegawai imigresen bersekongkol melindungi PATI ditahan, akan direman esok

KUCHING: Selepas menahan majikan dan pegawai polis yang dikaitkan sebagai melindungi pekerja asing tanpa permit, tumpuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini beralih kepada Jabatan Imigresen Sarawak.

Seramai 10 pegawai Imigresen Sarawak ditangkap hari ini kerana dipercayai telah menerima suapan untuk tidak mengambil tindakan ke atas warga asing tanpa dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah di negeri ini.

Daripada jumlah tersebut, enam adalah pegawai wanita manakala selebihnya lelaki, dengan lokasi tangkapan adalah di Pejabat Imigresen Sarawak, Lapangan Terbang Kuching, Pejabat Imigresen Pending dan pusat tahanan depot Semuja, Serian.

Tangkapan dilakukan di antara jam 1.30 hingga 4.30 petang tadi dengan tuduhan mereka telah menyalahgunakan kuasa yang diberikan dengan mengutip wang rasuah dan wang perlindungan pendatang-pendatang tanpa izin ini.

Menurut sumber SPRM, kesemua suspek dipercayai telah menerima rasuah antara RM200 hingga RM5,000 bagi melindungi pendatang asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan dan permit perkerjaan yang sah.

Pada masa yang sama, SPRM turut merampas wang tunai sebanyak RM10,000 daripada salah seorang suspek yang ditahan.

Ketika dihubungi, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, ramai lagi yang akan ditahan berhubung kes tersebut.

“Kesemua mereka yang berusia di antara 33 hingga 53 tahun akan dibawa ke Mahkamah Kuching untuk perintah tahanan reman jam 9 pagi esok

Kata Simi, kemasukan pekerja asing secara haram bukan sahaja boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara, malah turut menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah di Sarawak. – Sarawakvoice