Pelajar Jepun terpikat keindahan Kuching, layanan mesra penduduk

KUCHING:  Pelajar Jepun ternyata terpikat dengan keindahan bandar raya ini dan juga kehangatan sambutan yang diberikan kepada rombongan selepas mengadakan lawatan semalam.

Mereka sempat mengunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri Datuk Idris Buang dan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak.

Ketika di Pusat Khidmat ADUN Muara Tuang itu, pelajar diberi taklimat tentang kawasan Muara Tuang dan juga menunjukkan kemahiran mereka dalam bahasa Melayu.

Malam tadi mereka dibawa ke pusat makanan laut popular – Top Spot – untuk menikmati makanan tempatan, termasuk lemidin.

Dua belas pelajar Tokyo University of Foreign Studies, Tokyo kini berada di sini  mengikut program Kembara Ilmu Inap Desa.

Pagi ini pelajar terbabit akan melihat buaya dan Orang Utan diberi makan serta makan makanan Melayu di perkampungan Melayu merupakan antara acara menarik ketika berada di sini selama lima hari mulai Isnin.

Pada sebelah petang pula mereka akan mengadakan sesi pertemuan dengan pelajar Universiti Malaysia Sarawak.

Menurut penyelaras program, Faridah Mohamed tujuan program itu adalah unntuk memperkenalkan kepada pelajar Jepun terbabit budaya Melayu, tatatertib dan kepercayaan serta amalan harian kehidupan masyarakat, serta mendedahkan mereka kepada penggunaan bahasa Melayu dan keindahannya.

Faridah merupakan tenaga pengajar dalam bidang pengajian bahasa Melayu di Universiti Pengajian Bahasa Asing Tokyo (TUFS), Universiti Waseda dan Universiti Takushoku, Jepun.

Faridah berkata 12 pelajar berkenaan merupakan kumpulan yang mengikuti kursus bahasa Melayu selama empat tahun, dan pemilihan ke program berkenaan adalah ketat.

Selain Sarawak, rombongan pelajar berkenaan turut mengunjungi Kedah dan Pahang. – Sarawakvoice

Leave a Reply