KUCHING: Maritim Malaysia menahan tiga buah kapal dalam tempoh tiga hari di perairan negeri ini kerana belayar tanpa pegawai yang ditauliahkan.

Menurut Timbalan Pengarah Operasi Daerah Maritim Kuching, Mohd Ariz Md Kassim, tangkapan pertama merupakan sebuah bot tunda berserta tongkang yang mencurigakan kira-kira 2 batu nautika dari Tanjung Po, dekat sini.

“Ia ditahan oleh bot kami ketika melakukan rondaan rutin pada 11 Mac lalu.

“Bot tunda yang didaftarkan dengan nama Meranti 33  itu sedang menunda tongkang dan diperiksa sekitar jam 12.00 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut belayar tanpa Chief Officer dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Kata Mohd Ariz lagi, sekitar jam 12.26 petang hari yang sama, pasukan Maritim Malaysia Daerah Kuching menahan sebuah lagi kapal, iaitu kapal kargo yang didaftar dengan nama Lautan Megajaya.

“Penahanan dan pemeriksaan dilakukan sekitar 2.2 batu nautika dari Tanjung Po.

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal kargo berkenaan disyaki melakukan  kesalahan yang sama; belayar tanpa Chief Officer.

Bot tunda, tongkang dan kapal kargo Lautan Megajaya kemudian dipandu ke jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, sebuah lagi kapal tunda serta tongkang yang mencurigakan turut disiasat kira-kira 4 batu nautika dari Tanjung Po semalam.

Penahanan dilakukan oleh sebuah bot Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan rutin.

“Ketika penahanan dilakukan pada jam 8.08 pagi itu, bot tunda yang didaftarkan atas nama Esquire No.1 sedang menunda tongkang tanpa muatan.

“Sekali lagi kita mengesyaki kapal berkenaan belayar tanpa Engineer Officer dan ini juga melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Oleh yang demikian, lanjut Mohd Ariz, pihaknya menahan kapal tunda dan tongkang tersebut bersama-sama lima kru warganegara Malaysia dan dua warganegara Indonesia yang berumur dalam lingkungan 19 hingga 58 tahun.

“Mereka turut dibawa ke jeti KOMTAS untuk siasatan lanjut.

“Jika sabit kesalahan, pemilik kapal boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi. – Sarawakvoice