KUALA LUMPUR: Perniagaan ASEAN menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberi lebih kejelasan dan kepastian mengenai dasar perdagangan AS untuk manfaat pertumbuhan bersama di AS dan ASEAN.

Pengerusi Institut Penyelidikan ASEAN CIMB (CARI), Tan Sri Dr Munir Majid berkata perniagaan memerlukan kepastian untuk beroperasi serta melaksanakan usaha berkembang maju, terutama apabila Komuniti Ekonomi ASEAN baru dibentuk dan mula menunjukkan potensi masa depan dengan isu peringkat awal.

Beliau berkata, AS telah menarik diri daripada Perkongsian Trans-Pasifik sekali gus menjadikan 11 negara sahaja, empat daripadanya adalah negara ASEAN, akan menilai semula perjanjian perdagangan itu yang mula dirundingkan pada 2008.

“Hubungan perdagangan AS dengan China dan rakan dagang lain sebahagian besarnya masih tidak jelas. Kami menggesa Trump meneruskan kerjasama dengan ASEAN untuk menempa hubungan perdagangan bagi manfaat bersama,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena Siri Meja Bulat ASEAN hari ini.

Perbincangan Meja Bulat itu menumpu kepada ‘Mendepani Perubahan Orde Dunia:  Apakah Kesan Dasar Ekonomi dan Luar Negara Trump Terhadap ASEAN?”.

Pada 2015, AS merupakan rakan dagang keempat terbesar ASEAN, dengan perdagangan antara kedua-duanya mencatatkan US$212 bilion (US$1 = RM4.45).

Hampir satu per tiga daripada semua pelaburan AS di Asia adalah ke ASEAN, iaitu melebihi gabungan pelaburan AS di China, India dan Jepun.

Ketua Pakar Ekonomi CARI, Dr Arup Raha berkata sekiranya Trump melaksanakan retorik kempennya dan mengenakan tarif antara 25 dan 45 peratus ke atas eksport China, ia sekali gus akan menjadi pengubah kepada ekonomi dunia.

Beliau berkata, tarif seperti itu akan menjejaskan rantaian bekalan yang telah berperanan sejak bertahun-tahun, dan kesan tersebut akan turut dirasai diseluruh ASEAN.

Arup berkata tarif berkenaan juga akan mengukuhkan lagi dolar AS dan melemahkan renminbi, kedua-dua keadaan itu akan memberi kesan negatif kepada mata wang negara Asia.

Mengenai jangka sederhana, kecekapan perdagangan akan mengalami kerugian sekali gus menjejaskan potensi pertumbuhan, katanya.

“Negara-negara yang akan terjejas teruk adalah yang bergantung kepada pasaran antarabangsa terbuka untuk menjual produk mereka, dan ia termasuklah hampir kesemua negara ASEAN,” katanya.

Meja Bulat itu dianjurkan bersama CARI dan Kelab Perniagaan ASEAN.

Hadir sama ialah Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan Serantau Majlis Perniagaan AS-ASEAN, Micheal W. Michalak dan Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz. Bernama