KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan pemimpin yang diberikan amanah dan tanggungjawab perlu  menjalankan kewajipan untuk berkhidmat kepada rakyat dengan baik.

Malah, Tunku Ismail berkata, individu yang mengutamakan kepentingan peribadi lebih daripada rakyat juga tidak layak berada di negeri itu.

“Saya ingin beri nasihat sedikit terhadap isu berbangkit berkaitan dengan negeri Johor Darul Ta’zim.

“Perlu saya ingatkan di negeri Johor ini tidak akan ada tempat untuk mereka-mereka yang tidak mengamalkan integriti dalam tugasan yang diberikan serta terlibat dengan budaya korup,”  katanya seperti  dimuatkan dalam Facebook Johor Southern Tigers, semalam.

“Kepada mana-mana individu yang diberi amanah dan tanggungjawab, jalankan kewajipan anda untuk berkhidmat kepada rakyat dengan baik,” ujarnya.

“Sekiranya anda mengutamakan kepentingan peribadi lebih daripada rakyat, sebagai mana yang DYMM Tuanku pernah bertitah, anda tidak layak berada di negeri Johor dan kami akan pastikan anda tidak mempunyai tempat di negeri berdaulat ini,” katanya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini menahan seorang exco kerajaan negeri berhubung sindiket berkaitan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri Johor. – Sarawakvoice

Leave a Reply