KUCHING: Kawasan Pertumbuhan Asean Timur-Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMB-EAGA) yang bermula 1994 merangkumi Heart of Borneo dan Rantau Ekomarin Sulu-Sulawesi.

BIMB-EAGA merupakan tapak strategik bagi mempercepat pembangunan ekonomi serantau yang mempunyai sumber paling kaya di dunia.

Sehubungan itu, Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Openg mahu pengeluar produk makanan di Sarawak memanfaatkan BIMP-EAGA bagi melebar luas bahagian pasaran produk mereka.

Dalam konsep BIMP-EAGA, barangan pengguna keluaran Sarawak bukan hanya dipasarkan di peringkat tempatan, malah boleh dieksport ke negara jiran khususnya Kalimantan, Indonesia.

Merasmikan jalur pemprosesan bersuhu ultra tinggi Fraser & Neave Holdings Bhd bernilai RM31.5 juta di kilang syarikat pada Selasa, Abang Johari berkata, Kerajaan Negeri meneruskan dasar larangan pembangunan perladangan berskala besar di Sarawak.

Menurut beliau, aktiviti ekonomi berkembang kukuh tertumpu kepada pembangunan industri serta perniagaan dan tidak lagi bergantung kepada sektor pertanian semata-mata.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita, Abang Johari menyarankan agar pengeluar makanan menggunakan bekas kaca bagi pembungkusan produk.

Sarawak kaya pasir silika yang dapat digunakan membuat kaca yang mesra alam dan mematuhi piawaian alam sekitar antarabangsa.

Walaupun bekas kaca mudah pecah, namun ia mudah dikitar semula, sekali gus mengurangkan penggunaan bekas plastik yang berbahaya dan tidak mesra alam. – Sarawakvoice