KABONG: Penduduk di Kampung Hulu di sini melahirkan rasa kurang senang dan terkilan apabila saluran paip air di kawasan kampung berkenaan tidak diurus dengan sempurna dan menimbulkan masalah kepada mereka kini.

Seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan memberitahu pada masa ini salah satu daripada saluran paip di kampung itu tidak diselia dengan baik menyebabkan ada air yang masih mengalir keluar.

Lebih teruk saluran paip berkenaan boleh dimasuki air masin ketika air pasang menyebabkan air yang digunakan penduduk terasa masin seperti air laut.

Saluran paip itu juga boleh dimasuki oleh air kotor dan sisa kumbahan dari rumah penduduk di kawasan itu kerana tidak dikunci sehingga benar-benar ketat.

“Keadaan itu timbul kerana mereka melakukan sambungan dengan tidak teliti. Bekas lubang batang paip yang ada pada saluran paip utama hanya ditampal (ditutup) dengan menggunakan tiub basikal lama.

“Selepas itu untuk mengetatkannya mereka yang berkenaan hanya menggunakan satu nat berbanding enam nat yang sepatutnya. Selebihnya yang lain dipasang paku besi biasa sebagai ganti nat.

“Kita penduduk yang kini sedang berdepan dengan masalah air berharap tindakan perlu diambil untuk membaiki keadaan. Tindakan segera juga perlu bagi membersihkan imej perkhidmatan pihak yang terlibat dengan bekalan air bersih di sini,” ujarnya.

Pada masa kini krisis air masih berlaku di beberapa kawasan dan pihak ketua masyarakat kini mengambil tindakan alternatif dengan memohon penghantaran air dengan lori bagi membekalkan air kepada penduduk yang masih terjejas akibat tiada bekalan air kini. – Sarawakvoice

Leave a Reply