KUALA LUMPUR: Kebodohan dan kebebalan seseorang bukan sahaja diukur dari segi kata-kata, tetapi perbuatan.

Antara perbuatan bebal adalah pelakuan individu yang menggelarkan dirinya sebagai Raja Bomoh Malaysia yang cuba memagar Malaysia daripada serangan Korea Utara.

Perbuatan beliau bukan sahaja memalukan dirinya, tetapi rakyat Malaysia di mata dunia, dengan berita berkenaan turut disiarkan media antarabangsa, termasuk TV Korea Utara.

Ibrahim pada Ahad lalu mengadakan upacara untuk “melindungi” Malaysia di tepi pantai.

Dengan menggunakan buluh kecil yang dijadikan teropong, dua biji kelapa dan lima meriam buluh untuk upacara itu, Ibrahim yang memakai kot membaca beberapa potongan doa.

Sebahagian rakyat yang sudah tahu kerenah Ibrahim menyifatkannya melucukan, tetapi yang lain menganggapnya perbuatan bodoh dan memalukan.

Justeru, tidak hairanlah apabila Mufti Perlis  mengkritik  aksi Ibrahim Mat Zin  itu.

Datuk Dr Asri Zainul Abidin menyifatkan perbuatan beliau sebagai khurafat dan memalukan akal, sambil menegur langkah itu dijadikan berita rakyat.

Asri berkata Ibrahim membaca ayat dan doa dengan cara yang salah.

“Padahal perbuatannya itu merupakan kebodohan yang tiada bertebing,” katanya dalam sebuah komen yang dimuat naik dalam Facebooknya.

“Jika itulah dianggap ‘raja bomoh’, apakah kadar kebodohan pada bomoh yang bukan raja?” katanya.

Mufti Perlis itu menegaskan, Islam menentang kebodohan tanpa mengira siapa yang melakukannya, sekalipun pihak yang bergelar ustaz atau kiyai.

Beberapa tahun lalu, Raja Bomoh juga pernah menjalankan ritual di KLIA kononnya untuk mengesan pesawat MAS yang hilang, tetapi hingga hari ini pesawat itu belum ditemui lagi. – Sarawakvoice