Kantoi samun rakan sekampung, lelaki ditahan, tiga rakannya diburu

KUCHING: Samun rakan sekampung menyebabkan seorang lelaki “kantoi” hingga memudahkan pasukan polis menjeratnya kurang 12 jam selepas melakukan perbuatan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, kejadian berlaku sekitar jam 9.30 malam Isnin lalu, ketika mangsa, seorang remaja berusia 17 tahun dan teman wanitanya sedang duduk santai di motosikalnya di tepi Jalan Dun Lama, Petra Jaya.

“Mangsa yang bekerja sebagai Pembantu Katering kemudian didatangi oleh empat lelaki yang tidak dikenali yang berjalan kaki.

“Mereka kemudian mengeluarkan senjata parang sebelum menakutkan mangsa dan bertindak melarikan motosikal jenis Honda Wavr serta dompet yang mengandungi dokumen penting milik mereka.

Kata Abang Ahmad, mangsa yang ketakutan tidak melawan, apatah lagi melihatkan kesemua suspek dalam keadaan mabuk.

“Seorang daripada mereka menutup muka dengan kain manakala tiga lagi tidak menggunakan sebarang pelindung.

“Dua daripada suspek kemudian memecut lari motosikal tersebut manakala dua yang lain berlari ke arah semak berhampiran.

Kata Abang Ahmad, mangsa bagaimanapun bernasib baik kerana tidak dicederakan manakala salah seorang suspek yang tidak menutup muka itu dikenali oleh teman wanitanya.

“Bertindak atas laporan mangsa, sekitar jam 10.45 pagi semalam, sepasukan anggota siasatan jenayah Kuching telah melakukan serbuan dan menangkap seorang lelaki Melayu di tepi jalan di Kampung Gersik, dekat sini.

“Penangkapan lelaki berusia 28 tahun itu mendedahkan tiga lagi rakan subahatnya, yang kini sedang diburu,” katanya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata.

Pada masa yang sama, Abang Ahmad menasihatkan pasangan remaja agar mengelakkan diri daripada berada di tempat yang gelap dan sunyi, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. – Sarawakvoice