PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket pelacuran antarabangsa yang menjalankan kegiatan di sebuah hotel tiga bintang di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur dalam operasi Ops Gegar semalam.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata 28 wanita warga asing ditahan dalam operasi di tingkat 4 dan 5 hotel berkenaan melibatkan enam warga Kazakhstan, Vietnam (lima), Thailand (empat), Indonesia (empat), China (tiga), Mongolia (tiga), Rusia (dua) dan Turki (satu).

Turut ditahan ialah lima lelaki tempatan yang bertindak sebagai penyelia dan orang tengah bagi mendapatkan pelanggan, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

“Kedua-dua tingkat tersebut dikawal secara ketat dan juga pemerhatian dilakukan melalui kamera litar tertutup bagi mengelakkan daripada dikesan oleh penguat kuasa,” katanya.

Mustafar berkata wang tunai berjumlah RM9,550 turut dirampas kerana disyaki hasil daripada urus niaga membabitkan semua wanita warga asing terbabit.

Katanya semasa pemeriksaan dijalankan di setiap bilik wanita terbabit, sejumlah wang tunai dalam pelbagai mata wang turut ditemukan iaitu dalam ringgit berjumlah RM64,950, dolar Hong Kong (HK$66,360), dolar Singapura (S$42), rupiah Indonesia (RP2,000), dong Vietnam (120,000) dan tugrik Mongolia (140).

Katanya soal siasat awal mendapati wanita terbabit memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial bagi tempoh 90 hari dan dapat mengumpul sejumlah besar wang dengan hanya melakukan aktiviti pelacuran di hotel tersebut.

Menurutnya sebanyak tujuh Borang 29 (Saman Saksi) dikeluarkan kepada majikan atau wakil majikan dan pelanggan yang berada di dalam premis semasa serbuan dijalankan bagi membantu siasatan.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen,” katanya.

Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan susulan, katanya.

Kes disiasat atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran, Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Bernama