SHAH ALAM: Seorang lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan seorang pastor yang dipercayai diculik di Jalan Bahagia, Petaling Jaya bulan lepas, akan dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata suspek yang berusia 30 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana cuba melakukan pemerasan ke atas keluarga mangsa.

“Siasatan yang dijalankan mendapati suspek tidak mempunyai kaitan dengan kes tersebut dan hanya mengambil kesempatan untuk memeras keluarga mangsa.

“Siasatan kes penculikan ini masih diteruskan dan pihak polis menyeru agar orang ramai tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Polis menahan lelaki itu kira-kira 3.30 pagi pada 9 Mac lepas di Ampang,hasil maklumat dan kerjasama keluarga mangsa.

Media sebelum ini melaporkan pastor berusia 62 tahun itu dipercayai diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng pada 13 Feb lalu.

Laporan turut menyebut pastor berkenaan kali terakhir dilihat memandu kereta jenis Honda Accord seorang diri sebelum kejadian itu. Bernama