KUALA LUMPUR: Bukan selalu dua gergasi dapat ditampilkan di atas pentas untuk berdebat mengenai isu kontroversi seperti 1MDB.

Tetapi itulah yang bakal berlaku pada 25 Mac ini apabila mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertembung dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz.

Pertemuan disifatkan antara buku dengan ruas itu, dinanti-nantikan bukan sahaja oleh penduduk di padang Rengas, kawasan Parlimen Nazri, tetapi juga rakyat Malaysia.

Kedua-dua pemimpin terbabit telah saling menyerang untuk sekian lama, dengan Mahathir menjadi pengkritik tegar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, manakala Nazri mempertahankan kerajaan dan Najib.

Ketika Nazri yang dikenali sebagai pemimpin lantang menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2006, beliau mencabar Mahathir mengadakan debat kerana mengkritik Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi.

Pada tahun berkenaan Nazri juga meminta Mahathir keluar dari Umno kerana bersekongkol dengan pembangkang.

Kini, Mahathir menjadi pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan bekerjasama dengan DAP, PKR dan Amanah.

Dalam debat itu nanti, mereka akan membahaskan isu kontroversi dan panas, 1MDB dan skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) yang tidak banyak diketahui oleh generasi muda.

Debat berkenaan anjuran sebuah akhbar nasional akan diadakan pada jam 3 petang di Dewan Milenium, di kawasan Parlimen Nazri, dengan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Maszlee Malik sebagai moderator.

Debat sebegini dinilai dari segi sejauh mana pendebat dapat mengemukakan hujah bernas berdasarkan fakta, dan bagaimana lawannya dapat mematahkannya, serta mengemukakan wacana tandingan yang meyakinkan.

Meskipun elemen-elemen lain seperti bahasa tubuh dan suara memainkan peranan, khalayak menilai lebih kepada isi kandungan, fakta, hujah dan wacana yang dibentangkan.

Suatu ketika dahulu Menteri Penerangan Datuk Ahmad Sabree Chik pernah berdebat dengan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan lebih 85 peratus penonton mengatakan Anwar menang dalam debat mengenai isu kenaikan harga minyak ketika itu. – Sarawakvoice

Leave a Reply