KUCHING: Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg hari ini mencadangkan kepada pembekal minuman ringan di negeri ini agar kembali menggunakan botol kaca dalam produk keluaran mereka.

Menurutnya, cadangan itu penting memandangkan botol plastik yang digunakan kini tidak mesra alam.

“Ia sukar dilupuskan selepas guna, apatah lagi untuk proses kitar semula.

“Justeru menggunakan botol kaca adalah langkah terbaik, memandangkan syarikat-syarikat pembuatan dan pembekalan minuman ringan kini juga sedang beralih kepada kaedah pembungkusan mesra alam,”katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap melancarkan Barisan Pemprosesan suhu ultra tinggi (UHT) baharu milik syarikat Fraser & Neave (F&N) Holdings Berhad di sini.

Mesin barisan bernilai RM31.5 juta itu merupakan yang pertama seumpamanya di Sarawak, bagi memenuhi permintaan produk syarikat itu yang kini menjangkau 3.4 juta karton setahun.

Menurut Abang Johari, bagi memenuhi keperluan botol kaca itu, Kerajaan Negeri boleh menghulurkan bantuan kerana Sarawak kaya dengan stokpail pasir silika, daripada jenis antara yang terbaik di dunia.

“Kita bertuah kerana memiliki pasir ini yang boleh ditukar kepada gelas, malah sel solar,” katanya.

Pada majlis yang sama, Abang Johari yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar I Sarawak memberitahu, Kerajaan Negeri akan memberi sokongan kepada mana-mana syarikat multinasional yang melaksanakan operasi di negeri ini.

“Terima kasih memilih Sarawak untuk membesarkan perniagaan anda kerana ia akan memberikan impak yang besar, terutama apabila pasaran turut dibuka kepada negara jiran seperti Brunei dan Kalimantan.

“Kita kini sedang melaksanakan perdagangan rentas sempadan di antara Kalimantan, Indonesia dan Sarawak; sebagai sebahagian usaha memakmurkan persekitaran perniagaan dengan negara jiran.

“Ini untuk keuntungan kedua-dua pihak (negara) ,” tegasnya lagi.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri juga amat mengalu-alukan usaha penyelidikan dan pembangunan apabila melibatkan industri makanan.

“Kita memiliki tanah yang luas dan ia hendaklah dieksploitasi berdasarkan ekonomi pertanian moden.

“Sarawak tidak lagi boleh bergantung kepada ekonomi tradisi, dan seharusnya tanah yang kecil boleh ditanam dengan tanaman kontan, dan kemudian dipasar ke seluas-luas pasaran.

Katanya, ini dilakukan menerusi e-dagang, yang kini sedang dipromosikan oleh Kerajaan Sarawak melalui ekonomi digitalnya.

Turut hadir Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pelaburan dan Promosi), Datuk Julaihi Narawi, Pengerusi F&NB Tengku Syed Badarudin Jamalullail dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Yew Hoe. – Sarawakvoice