KUCHING: Kerajaan Negeri mensasarkan tahun 2021 untuk melengkapkan prasarana ICT di negeri ini, sekali gus menjadikannya negeri yang berlandaskan ekonomi digital.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, dengan adanya prasarana tersebut, rakyat di seluruh pelosok negeri ini akan menikmati kemudahan internet sepantas 2 terra bit (TB) per saat.

“Kita telah memperuntukkan RM1 bilion untuk tujuan ini dan kita berharap Kerajaan Pusat dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan memberikan peruntukan serupa.

“Dengan berasaskan satu untuk satu, saya percaya ia cukup untuk penyediaan prasarana ini, sama ada dalam bentuk teknologi fiber optik mahupun cloud computing,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Ketua Menteri Sarawak bersama Penjawat Awam 2017 di negeri ini sebentar tadi.

Menjelas lanjut, Abang Johari memberitahu, menjadi tanggungjawab SKMM untuk membangunkan prasarana itu secepat mungkin di negeri ini, berbanding perancangan 100 mega bit (MB) untuk Kuching dan 20 MB untuk luar bandar.

“Berdasarkan maklumat yang kita terima, jumlah peruntukan itu cukup.

“Tetapi jika kurang, kita akan tambah,” katanya lagi.

Dengan adanya kelajuan sistem komunikasi menjangkau 2 TB per saat, bermakna negeri ini dapat berhubung secara 5G dan bukan lagi 4G.

Ketika ini, negara-negara yang menggunakan sistem komunikasi ini adalah Amerika Syarikat, Australia, Jepun dan Korea Selatan.

“Untuk maju, kita perlu lebih canggih pada masa depan. Masa depan bukan sahaja abad teknologi malah robotik dan digital.

“Kerana itu negeri ini perlu berasaskan ekonomi digital,” jelasnya lagi.

Katanya, beliau yakin Sarawak memiliki bakat muda yang sarat idea.

“Oleh itu kerajaan mesti menyediakan prasarana komunikasi ini untuk membolehkan mereka menyalurkan idea ini ke peringkat global.

Bagi menjayakan usaha ini, kerajaan katanya akan melakukan sedikit rombakan kepada kementeriannya untuk mewujudkan badan pentadbir yang akan menguruskan pelaksaan sistem berasaskan komunikasi digital ini.

“Untuk tujuan ini kita sedang mengkaji perundangan dan bidang kuasa; terutama yang membabitkan sempadan kuasa kerajaan pusat dan negeri,” katanya lagi.

Badan pentadbir itu tegasnya, hendaklah bertaraf dunia, dengan model terbaik adalah Singapura.

“Singapura mendahului kita di rantau ini, dan kita akan mengadakan hubungan kerajaan dengan kerajaan dengan mereka bagi menjayakan agenda ini,” katanya lagi.

Komiten Abang Johari sebelum ini dibayangkan menerusi pengurniaan peruntukan RM30 juta untuk membangunkan inkubator ICT dan pusat kreativiti teknologi di Taman Perindustrian Samajaya.

Beliau juga mengumumkan hala tuju ekonomi Sarawak berasaskan ekonomi digital selepas mengambil alih peranan sebagai Ketua Menteri. – Sarawakvoice

Leave a Reply