KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengesahkan beliau sedia berdebat dengan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga mentor beliau sebelum ini.

Nazri mengesahkan debat berlangsung di dewan Milineum Hall di Padang Rengas, Perak itu bermula 3 petang pada 25 Mac ini dan beliau akan membangkitkan isu dalam negara seperti skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF).

Memetik Astro Awani pada Isnin, Nazri berkata, beliau akan hadir pada tarikh penganjuran debat berkenaan dan tetap menghormati Tun Mahathir yang kini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Perkara ini dianjurkan kerana beliau yang cabar saya, bukan sebaliknya,” kata Nazri di lobi Parlimen.

Nazri berkata, kini terpulang kepada Dr Mahathir sama ada mahu meneruskan atau menangguhkan debat tersebut.

Dr Mahathir dan Nazri sering berbalas kenyataan dan saling mencabar akhir-akhir ini.

Nazri pernah berkhidmat sebagai menteri pembangunan usahawan dalam kabinet Dr Mahathir sebelum ini turut mencabar bekas perdana menteri itu bertanding pada pilihan raya umum akan datang di Padang Rengas.

Dr Mahathir bagaimanapun menegaskan beliau tidak berhajat kembali bertanding dalam pilihan raya.

Dr Mahathir sebaliknya mencadangkan agar kedua-dua mereka berdebat pelbagai isu negara termasuk skandal 1MDB dan BMF.

Isu BMF muncul semula selepas dokumen Agensi Perisikan Pusat (CIA) mengaitkan kerajaan Dr Mahathir dengan skandal yang menelan kerugian sekitar AS$1 bilion itu. – Sarawakvoice