Japan Times dakwa Jepun bekalkan sampel cap jari Jong-nam

KUALA LUMPUR: Selain Korea Selatan dan Amerika Syarikat begitu yakin Korea Utara terlibat dalam pembunuhan Kim Jong-un di Kuala Lumpur, Jepun sebuah lagi negara mempunyai kepercayaan serupa bahawa Pyongyang tahu rancangan pembunuhan berkenaan.

Today Online melaporkan pada Isnin, Jepun turun tangan membantu Malaysia mengenal pasti mayat Jong-nam dengan membekalkan sampel cap jari milik Jong-nam untuk dipadankan dengan mangsa yang menggunakan identiti Kang-chol.

Japan Times pula melaporkan, cap jari tersebut disimpan oleh Jepun semasa Jong-nam ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo pada 2001 kerana memasuki negara berkenaan menggunakan pasport palsu.

Jong-nam memberi alasan mahu melawat Disneyland Tokyo, dan tragedi itu dianggap memalukan ayahnya Kim Jong Il, sehingga mengakibatkan Jong-nam disisih dari mewarisi kerajaan Korea Utara.

Jong-nam membawa diri ke China.

Ini kali pertama negara lain dilapor menyediakan beberapa bentuk sokongan dalam siasatan pembunuhan abang tiri diktator Korea Utara, Kim Jong-Un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), pada pagi 13 Februari lalu.

Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan mayat lelaki Korea Utara itu adalah milik Jong Nam.

“Kami sudah memenuhi keperluan undang-undang berhubung identiti beliau,” kata Khalid kepada wartawan minggu lepas.

Jong Nam anak sulung bekas pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong Il.

Siasatan ke atas kematian Jong Nam, satu daripada punca pencetus kontroversi antara Malaysia-Korea Utara.

Jong Nam meninggal dunia pada 13 Februari lalu ketika menunggu penerbangan ke Macau.

Beliau diserang dua wanita warga Vietnam dan Indonesia yang menyapu mukanya dengan cecair dikenal pasti sebagai agen saraf VX yang dikategorikan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebagai senjata pemusnah.

Dua suspek wanita sudah dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan membunuh Jong Nam, manakala polis masih mengesan dua lelaki Korea Utara yang dipercayai bersembunyi di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur.

Malaysia masih menunggu waris menuntut mayat mangsa.

Anak Jong Nam, Kim Han Sol sebelum ini dikatakan berada di Macau dengan keluarganya.

Sebuah rakaman video Rabu minggu lalu menunjukkan keluarganya bersembunyi di lokasi dirahsiakan dan sebuah kumpulan dikenali sebagai “Cheollima Civil Defense” mendakwa melindungi keluarga Jong Nam. – Sarawakvoice