LUNDU: Diminta mengulas isu tular di media sosial berkaitan pembekuan cuti staf sebuah jabatan kerajaan yang mencetuskan spekulasi pilihan raya umum sangat dekat, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Hashim Abdullah berkata pihaknya memang sentiasa bersedia mengendalikan pilihan raya pada bila-bila masa.

Mengutip Bernama, Hashim berkata, “jangan bimbang, sepanjang masa kita buat persiapan dari segi logistik dan semuanya… petugas kita pun, ini bukan kali pertama mereka bertugas mengendalikan pilihan raya;.

Hashim menyampaikan sijil penghargaan kepada petugas Pilihan Raya Kecil  (PRK)Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu pada 18 Februari lepas, di Dewan Masyarakat Lundu pada Isnin.

Hashim berkata bagi SPR apabila Parlimen atau DUN dibubarkan, atau jika ada kekosongan kerusi di satu-satu kawasan pilihan raya, SPR akan melaksanakan tanggungjawabnya dengan lancar.

SPR berada di Lundu pada Isnin bertujuan membuat post mortem perjalanan PRK Tanjong Datu di samping memberi penghargaan kepada semua pihak yang terbabit.

SPR melaporkan, jumlah keluar mengundi pada PRK tersebut ialah 68 peratus dan pengurusan, keselamatan, petugas serta semuanya terkawal dan berjalan baik. – Sarawakvoice