Kubur kata mari, lelaki warga emas dicekup dengan dadah 13.10 gram di Jalan Datuk Ajibah Abol

KUCHING: Usia dan penjara bagi seorang lelaki berusia 60 tahun yang pernah ditahan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) pada tahun 2004 ternyata tidak menginsafkan.

Kubur kata mari, rumah kata pergi namun kedegilan lelaki tersebut menyebabkan beliau ditahan pasukan siasatan jenayah narkotik, 13 tahun setelah menerima hukuman lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai memberitahu, lelaki dari Jalan Laruh dekat sini itu ditahan dalam satu serbuan lewat malam pada Sabtu lalu.

“Suspek ditahan di kaunter sebuah hotel bajet di Jalan Datuk Ajibah Abol, hasil maklumat awam.

“Ketika ditahan, polis berjaya merampas satu sampul angpau yang mengandungi satu paket plastik lut sinar.

“Di dalam angpau tersebut, kita telah menemui ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 13.10 gram; dengan nilai pasaran RM2,358.

Kata Abang Ahmad, semakan rekod kemudian mendapati lelaki warga emas ini pernah ditahan kerana terlibat dengan aktiviti dadah.

“Kes kini masih dalam siasatan dan prosesnya akan dilaksanakan di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi. – Sarawakvoice