Aspirasi Abang Jo, jadikan Sarawak berpengaruh seperti Bavaria, Jerman

Ketika terlibat dalam dialog TN50 di Unimas minggu lalu, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg secara berterus terang melakarkan aspirasinya.

Beliau mahu Sarawak cemerlang, hebat dan gah, hingga dapat mempengaruhi pentadbiran pusat di Putrajaya.

“Biar Putrajaya terpengaruh oleh kehebatan kita. Itu aspirasi Sarawak,” tegasnya kepada Ketua Pemuda Barisan Nasional, Khairy Jamaluddin.

Kerana itu katanya, Sarawak mahu ekonominya stabil, dan model baharu kewangan akan diperkenal tidak lama lagi. Model baharu bermaksud, Sarawak akan lebih berdikari, tidak akan menunggu mahupun bergantung bantuan daripada Kerajaan Pusat untuk berfungsi.

“Kita tidak bergantung harap kepada mereka. Jika mereka mampu untuk membantu, bantulah,” katanya lagi.

Model kewangan dan ekonomi, yang secara jelas berkonsepkan digital itu katanya, telah mendapat restu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Impian Abang Jo terhadap hala tuju Sarawak besar. Beliau mahu Sarawak seperti Bavaria di Jerman.

Bavaria adalah sebuah negeri di selatan Jerman, dan dek kerana kualiti, kemajuan dan kukuh ekonominya, negeri itu begitu mempengaruhi kepimpinan pusat.

Bavaria sebenarnya amat terkenal. Berjiran dengan Liechtenstein, Austria dan Republik Czech, ibu negerinya ialah Munich. Ya, pusat kelab bola sepak tersohor dunia, Bayern Munich, yang juga lokasi pesta bir tahunan terkenal dunia; Oktoberfest.

Seperti Sarawak, Bavaria merupakan salah satu daripada 16 negeri di Jerman dan memiliki keluasan 27, 200 meter persegi. Seperti Sarawak juga, ia merupakan negeri terbesar dengan populasi seramai 12.9 juta. Malah Munich merupakan bandar ketiga terbesar di Jerman.

Dengan sejarah yang panjang, sejak abad keenam dengan sistem monarki hingga kepada penaklukan Empayar Rom, Prussia dan akhir sekali membentuk empayar Jerman, Bavaria merupakan negeri yang kaya budaya dan tradisi.

Hebatnya negeri ini, hingga ia menjadi pusat ekonomi yang cukup besar untuk melahirkan jenama-jenama hebat dunia.

Pada tahun 2007 sahaja, pendapatan negeri kasarnya mencapai RM24,000 bilion — menjadikannya kuasa ekonomi terbesar di Eropah. Justeru itu tidak hairanlah jenama-jenama besar dunia membina ibu pejabatnya di sini seperti  BMW, Siemens, Rohde &Schwarz,  Audi,  Munich Re, Allianz, Infineon,MAN, Wacker Chemie, Puma, Adidas, dan Ruf.

Seperti juga Sarawak, populasi Bavaria seramai 12.8 juta orang pada tahun 2015 terdiri daripada madyarakat majmuk.

Daripada jumlah itu, lebih 2 juta berketurunan Turki, Romania (96 ribu); Poland (94 ribu); Itali (92 ribu); Austria (84 ribu); Greece (69 ribu); Croatia (64 ribu); Hungary (57 ribu); Rusia (34 ribu), dan Bulgaria (33 ribu).

Daripada populasi ini, 52 peratus merupakan pengamal agama Protestan EKD, 20 peratus Islam, 4 peratus agama lain dan 24 peratus tiada kepercayaan.

Bavaria banyak melahirkan nama besar dunia. Antaranya termasuklah
Pope Benedict XVI; Pope Damasus IIand; Pope Victor II; pelukis Hans Holbein the Elder, Albrecht Dürer, Albrecht Altdorfer, Lucas Cranach, Carl Spitzweg, Franz von Lenbach, Franz von Stuck, Franz Marc, Paul Klee, Erwin Eisch dan Gabriele Münter.

Pemuzik klasik Orlando di Lasso,Christoph Willibald Gluck, Max Reger, Richard Wagner, Richard Strauss, Carl Orff, Johann Pachelbel dan Theobald Boehm juga berasal dari sini selain pemuzik Jazz,  Barbara Dennerleinand Klaus Doldinger, Sportfreunde Stiller (irama rock) dan Obscura (death metal).

Turut tersenarai pelantun opera Jonas Kaufmann dan Diana Damrau.

Sebagai negeri hebat, Bavaria turut menjadi bumi kelahiran penulis, penyair dan dramatis.

Antaranya termasuk Hans Sachs, Jean Paul, Frank Wedekind,  Christian Morgenstern, Oskar Maria Graf, Bertolt Brecht, Lion Feuchtwanger, Thomas Mann dan dua anaknya;  Klaus dan Golo Mann, Ludwig Thoma,Michael Ende.

Max Planck, Wilhelm Conrad Röntgen, Werner Heisenberg, Adam Ries, Joseph von Fraunhofer, Georg Ohm, Johannes Stark, Carl von Linde, Ludwig Prandtl, Rudolf Mössbauer, Lothar Rohde,Hermann Schwarz, Robert Huber, Martin Behaim, Levi Strauss,  dan Rudolf Diesel pula merupakan nama-nama besar dalam bidang sains.

Manakala dalam bidang perubatan, mereka melahirkan Max Joseph von Pettenkofer,Sebastian Kneipp dan pakar saraf Alois Alzheimer, yang menemukan penyakit Alzheimer’s.

Ahli politik yang berasal dari sini termasuklah Leonard John Rose dan Henry Kissinger manakala nama besar bola sepak dunia ialah Max Morlock, Karl Mai, Franz Beckenbauer, Sepp Maier, Gerd Müller,Paul Breitner, Bernd Schuster, Klaus Augenthaler, Lothar Matthäus, Philipp Lahm,Bastian Schweinsteiger, Holger Badstuber,Thomas Müller, Mario Götze, Dietmar Hamann dan Stefan Reuter.

Pencipta nama lain yang berasal dari sini termasuklah pereka fesyen Traunstein selain usahawan terkemuka Charles Diebold, pengasas Diebold dan Levi Strauss.

Kerajaan Negeri Bavaria mengandungi Ketua Menteri, 11 Menteri dan 6 Setiausaha Negeri.

Proses pentadbirannya berlangsung di tujuh wilayah atau Regierungsbezirke /Bezirke, 71 daerah atau Landkreise.

Bavaria juga memiliki 25 bandar dan pekan yang membentuk daerah kecil atau kreisfreie Städte dan ditadbir oleh 2,031 kerajaan tempatan atau Gemeinden.

Seperti Barisan Nasional memerintah Sarawak, kuasa politik terbesar di Bavaria adalah di tangan parti Kesatuan Sosial Kristian (CSU) yang telah memenangi semua pilihan raya sejak 1945.

Ini termasuk pilihan raya negeri pada 15 September 2013 apabila menang hampir keseluruhan kerusi di Parlimen Negeri.

Dengan corak yang hampir sama, keupayaan Bavaria mempengaruhi pentadbiran pusat memang mendambakan Abang Jo.

Justeru itu tidak hairanlah beliau begitu kuat untuk mengikut jejak langkah itu.

Dengan paksi untuk menjadi negeri berpengaruh, anak kepada Gabenor Sarawak yang pertama itu memiliki visi besar untuk Sarawak. Banyak perubahan bakal dilakukan, kerana beliau tahu kekuatan sesebuah negeri bukan sekadar pada ekonomi tetapi kepada ilmu penduduknya.

Dengan penduduk yang berilmu, disertai dengan peluang ekonomi yang sesuai dan politik yang stabil, usaha mencontohi Bavaria tidak akan menjadi terlalu sukar. Mungkin bukan 10 tahun, tetapi tidak mustahil dalam tempoh 2050 — ketika Malaysia bercakap tentang Transformasi Nasional. – Sarawakvoice