KUALA LUMPUR: Setiap pengusaha taska dan pengendali pusat jagaan di negara ini diminta mematuhi keperluan dan kehendak yang dinyatakan dalam peraturan yang ditetapkan, kata,Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.

Bagi memastikan tahap penyampaian perkhidmatan pusat jagaan, termasuk pusat jagaan kanak-kanak yang dikendalikan oleh pihak swasta berada di tahap keselamatan yang tinggi KPWKM  menjalankan pemantauan ke pusat jagaan berkaitan.

Antara  pemantau yang dijalankan ialah:

(i)  menjalankan aktiviti pengesanan ke pusat jagaan dan taska tidak berdaftar sepanjang masa dan memberi peringatan supaya berdaftar dengan JKM;

(ii)  menjalankan pemeriksaan berkala dan mengejut ke premis pusat jagaan dan taska oleh pegawai yang diberikan kuasa;

(iii)  mengambil tindakan seperti dalam peruntukkan Akta Pusat Jagaan 1993 dan Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984, seperti arahan bertulis, tutup sementara, batal pendaftaran, lak, kompaun dan menjalankan pendakwaan di mahkamah.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Hajah Azizah binti Datuk Seri Panglima Mohd. Dun ketika  menjawab soalan Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan di Dewan Rakyat berkata prosedur operasi standard ataupun SOP yang digunakan KPWKM untuk memastikan keselamatan kanak-kanak  di pusat jagaan kanak- kanak dalam keadaan yang selamat adalah berdasarkan Peraturan Taman Asuhan Kanak-kanak 2012 dan Peraturan-peraturan Pusat Jagaan 1994.

Dari Januari hingga Disember 2016 JKM telah mengeluarkan arahan bertulis kepada 42 buah taska dan 16 buah pusat jagaan. 19 buah taska dan tiga buah pusat jagaan diambil tindakan. 14 buah taska dan empat buah pusat jagaan dikenakan tindakan kompaun.

Tiga buah taska dikenakan tutup sementara, 53 buah tiga dan 18 pusat jagaan dibatalkan pendaftaran dan 10 buah taska dan sembilan buah pusat jagaan telah didakwa.

Ujarnya, kementerian sentiasa proaktif memastikan kanak-kanak di taska dan pusat jagaan diberikan perlindungan sewajarnya. Langkah-langkah dan tindakan yang berbentuk advokasi, pemantauan, kawalan dan punitif sememangnya diberikan keutamaan.

Antara tindakan yang diambil oleh pihak kementerian dalam usaha menangani kes jenayah di taska dan pusat jagaan adalah menjalankan pemeriksaan berkala dan mengejut ke atas taska dan pusat jagaan oleh pegawai yang diberikan kuasa.

Kementerian juga mengenakan tindakan penguatkuasaan ke atas pengusaha taska dan pengendali pusat jagaan yang melanggar Akta Taska serta peraturan yang berkaitan.

Selain itu, katanya,   menjalankan audit pematuhan taska ke atas 600 buah taska berdaftar di seluruh Malaysia bagi memastikan taska menyediakan perkhidmatan pengasuhan dan pendidikan yang berkualiti serta mematuhi akta dan peraturan yang ditetapkan;

Menurut beliau, kementerian juga  mengadakan program advokasi seperti Program Jom Daftar untuk menggalakkan pengusaha taska dan pengendali pusat jagaan mendaftarkan operasi mereka dengan JKM.

 Katanya lagi, kementerian itu turut bekerjasama dengan pihak media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu meningkatkan kesedaran awam tentang isu-isu keselamatan dan perlindungan kanak-kanak. – Sarawakvoice