KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (Harapan) menggesa Kerajaan agar menaikkan semula peruntukan kepada Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan mewujudkan lebih banyak jawatan tetap berbanding kontrak.

Kerajaan sepatutnya bukannya memotong bajet universiti, tetapi menambah peruntukan untuk program yang tidak relevan.

Dalam kenyataan bersama kepada Sarawak Voice, Nik Nazmi Nik Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zairil Khir Johari dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Faiz Fadzil Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan perkembangan penamatan kontrak ramai pensyaraah universiti akibat kekangan kewangan sebagai perkembangan yang menyedihkan.

Harapan memetik laporan Berita Harian 6 Mac bahawa Akademik Malaysia (MAAC) mendakwa hampir 6,000 pensyarah termasuk bertaraf profesor berhenti dan ditamatkan kontrak akibat kekangan kewangan.

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyangkal jumlah tersebut dan membetulkan jumlahnya kepada sekitar 2,000 orang, termasuk mereka yang ditamatkan kontrak dan mereka yang pencen.

Sejak dua tahun kebelakangan ini, pernah dilaporkan Universiti Malaya terjejas teruk akibat pemotongan bajet dalam belanjawan 2016 dan diikuti 2017 sehingga kemudahan IPT berkenaan terabai.

Harapan melalui kenyataan media menegaskan pemotongan peruntukan pendidikan dalam belanjawan Persekutuan telah memberi impak yang sangat besar serta buruk.

Hal ini juga turut memberi kesan kepada masa depan mahasiswa di universiti tersebut.

“Mahasiswa sebagai tunjang utama masa depan negara akan mengalami masalah kekurangan pensyarah yang berkaliber dan berpengalaman untuk mendidik mereka,” kata kenyataan tersebut.

Harapan menganggap situasi itu turut memberi impak dari sudut ekonomi apabila masalah pengangguran dijangka semakin bertambah parah dan membimbangkan negara.

“Agak sukar diterima golongan bijak pandai negara yang membuat pelbagai penyelidikan dan pembangunan (R&D) kini tiada pekerjaan.

“Sekarang hanya ada 32,000 pensyarah di universiti awam berbanding jumlah seramai 35,000 orang yang direkodkan sebelum ini,” dakwa kenyataan tersebut.

Kegusaran turut ditimbulkan bahawa seramai  37,699 rakyat Malaysia diberhentikan kerja pada 2016 dengan bilangan penganggur kini dianggarkan melebihi 515,200 orang berbanding 490,300 tahun sebelumnya.

Hal ini dikatakan amat membimbangkan dalam keadaan ekonomi negara yang agak merudum, diikuti kos sara hidup yang semakin tinggi.

Harapan berkata, keputusan kerajaan memotong peruntukan IPT secara terlalu drastik ini juga tidak sepatutnya dibuat dengan begitu mengejut.

“Jelas, kebanyakan IPT kini bergelut dengan masalah kewangan yang akhirnya menjadi beban yang terpaksa dipikul oleh siswa-siswi akibat kekurangan pensyarah, kualiti pengajaran yang menurun serta kos pendidikan yang meningkat,” tambah kenyataan itu lagi.

Kenyataan bersama berkenaan turut bertanya, “adakah yuran pendidikan IPT akan mengalami kenaikan dalam masa terdekat sebagai akibat (tindakan kos yang baik)?”

Harapan mendakwa kerajaan dilihat seolah-olah berlepas tangan dengan menyalahkan harga minyak mentah dunia sebagai punca pemotongan belanjawan.

Harapan tidak dapat menerima alasan kewangan negara dijadikan punca bagi tindakan berkenaan kerana mendakwa kewangan negara berada pada tahap terbaik sekiranya ditadbir urus dengan cara berhemah.

Malah, Harapan bertanya, “timbul juga persoalan ke mana perginya hasil kutipan GST?” – Sarawakvoice