Raja Bomoh muncul lagi, pagar M’sia daripada serangan Korea Utara…

KUALA LUMPUR: Masih ingat Raja Bomoh Malaysia yang kontroversi dan ada yang menilainya sebagai “lawak”?

Dalam isu tegangnya hubungan diplomasi Malaysia-Korea Utara mutakhir ini, raja bomoh atau Datuk Ibrahim Mat Zin bersama pengikutnya muncul lagi mengadakan upacara melindungi Malaysia daripada ancaman Korea Utara.

Dengan ritual aneh terbarunya melalui rakaman video berdurasi sekitar 3 minit di Youtube itu, Ibrahim bersama tiga pengikutnya berada di tepi pantai membawa beberapa peralatan acara seperti buluh kecil dijadikan teropong, dua biji kelapa dan lima meriam buluh.

Ibrahim yang tampil seperti kebiasaan dengan memakai baju kot, bertali leher serta bersongkok itu kemudian dilihat membaca doa.

Ibrahim yang didakwa sebagai Pengasas Persatuan Seni Silat Gayung Malaysia berkata beliau mengimbas dalam upacara tersebut untuk “memagar Malaysia di udara, bumi dan air”.

Menurut beliau, seramai lima juta pengikutnya dalam silat gayung mengadakan sembahyang hajat dan bacaan Yassin 44 hari bagi tujuan yang sama.

Hubungan diplomatik Malaysia-Korea Utara tegang ekoran isu pembunuhan Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) pada 13 Februari lalu yang kini dalam siasatan polis.

Korea Utara tidak berpuas hati dengan pengisytiharan persona non grata terhadap dutanya di Kuala Lumpur dan ia memberi respons yang sama terhadap duta Malaysia di negara tersebut.

Selepas dua rakyat Malaysia dibenarkan pulang, kini terdapat sembilan lagi rakyat Malaysia dihalang meninggalkan negara tersebut. – Sarawakvoice